Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan,
Saya ada soalan berkenaan penggunaan menstrual disc bagi wanita yang ada masalah istihadah atau yang mengalami masalah keputihan berterusan. Saya difahamkan bagi wanita yang mengalami masalah seperti masalah yang dinyatakan di atas, mereka perlu membersihkan dahulu darah/keputihan setiap kali sebelum solat dan perlu menggunakan pad/tisu/lapik bagi mengelakkan kebocoran. Jadi adakah dibolehkan untuk wanita yang mengalami masalah yang disebutkan untuk menggunakan menstrual disc dan adakah perlu untuk mereka membersihkan darah/keputihan yang terkumpul dalam menstrual disc itu terlebih dahulu sebelum solat? Mohon penjelasan pihak tuan/puan. Terima kasih.
Jawapan
Ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa menurut Imam Syafi'i dalam kitab al-Umm, setiap kencing, mazi, wadi atau sesuatu yang tidak diketahui atau diketahui yang keluar daripada kemaluan, maka semua hukumnya najis kecuali air mani. Ini bermakna sekiranya cairan keputihan datang daripada dalam faraj selain mani, maka statusnya najis.
Oleh itu, keputihan/ darah istihadah adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar daripada had batin faraj (tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak). Wanita yang mengalami masalah keluar keputihan/ istihadah disebut sebagai daim al-hadath. Kaedah serta hukum wuduk bagi wanita yang menghadapi masalah ini adalah seperti berikut:
Selain itu, ingin dijelaskan terlebih dahulu penggunaan menstrual terbahagi kepada beberapa jenis antaranya mesntrual cup dan menstrual disc. Penggunaan menstrual cup telah dibincangkan oleh ramai ilmuan dan hukumnya dianggap seperti menanggung najis kerana kedudukan keputihan/ darah istihadah yang ditampung oleh alat tersebut berada pada had yang wajib dibersihkan. Oleh itu, wanita yang sedang keputihan/ istihadah wajib membersihkan menstrual cup sebelum menunaikan solat dan tidak sah solat sekiranya tidak dibersihkan terlebih dahulu. Justeru, ia hendaklah dicuci sebelum berwuduk bagi menunaikan solat fardu, satu wuduk untuk satu solat fardu, adapun solat sunat boleh berbilang-bilang.
Adapun perbahasan/ kajian mengenai hukum memakai menstrual disc masih dalam perbincangan. Walau bagaimanapun, bagi mengambil langkah berhati-hati, adalah sebaiknya mengguna pakai hukum yang sama sebagaimana penggunaan menstrual cup.