BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ada pertanyaan tentang hukum,

Saya bekerja di syarikat ID kontraktor yang membuat projek hotel yang bertaraf 5 hingga 7 bintang. Pembinaan hotel memang terdapat tempat minum arak yang mana saya ada turut serta membuat pemasangan dan menyiapkan dengan sempurna. Apakah dikira berdosa kerana berkaitan dengan arak walaupun tempat itu belum dirasmikan lagi.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, pengharaman arak adalah jelas di dalam Islam, berdasarkan ayat al-Quran dan Sunnah Baginda SAW. Oleh itu, sewajarnya bagi umat Islam menjauhkan diri dari mendekatinya. Adapun situasi yang berlaku kepada pihak tuan, perlu dilihat kepada beberapa keadaan. Jika tuan merupakan pemilik syarikat kontraktor misalnya perlulah menolak tawaran kontrak jika didapati keterlibatan arak dalam kontrak tersebut. Begitu juga adalah haram hukumnya jika kerja - kerja kontrak tersebut sememangnya untuk penjualan arak. Ini kerana tuan telah membantu dalam melakukan sesuatu pekerjaan yang mendorong kepada kemaksiatan dan dilarang Allah SWT. Al- Quran secara jelas memperingatkan pada surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Jika tuan merupakan seorang pekerja pula, maka elakkan daripada terlibat dalam apa-apa pembinaan yang melbatkan penjualan arak. Namun, jika tidak dapat dielakkan, maka seeloknya tuan  menyucikan sebahagian hasil tersebut untuk maslahat umum agar diyakini harta yang didapati itu lebih terjamin kehalalannya.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 86

message user image