Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan,
Saya ingin bertanya berkenaan wanita yang bekerja sebagai anggota badan beruniform seperti polis, bomba, askar dan sebagainya. Soalan saya adalah:
1. Adakah dibolehkan untuk wanita bekerja sebagai anggota badan beruniform kerana mereka diarahkan untuk memasukkan tudung ke dalam baju maka menyebabkan mereka tidak boleh menutup dada dengan sempurna.
2. Apakah hukum wanita bekerja sebagai anggota badan beruniform?
Mohon penjelasan Tuan/Puan. Terima kasih.
Jawapan
1. Merujuk persoalan yang pertama, tuntutan untuk seorang muslim menutup aurat adalah wajib. Perintah untuk menutup aurat ini telah disebut secara jelas di dalam Surah al-Ahzab ayat 59:
Maksudnya: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Sehubungan itu, bagi anggota beruniform mereka mempunyai garis panduan yang telah diwujudkan sebagai rujukan kepada seluruh warga pekerja agar berpakaian memenuhi kehendak syariah serta mengutamakan penampilan profesional semasa menjalankan tugasan rasmi dengan mengambil kira garis panduan yang sedia ada.
2. Di samping itu, merujuk soalan kedua kerjaya wanita mestilah halal atau tidak mendorong ke arah melakukan perkara haram dan mendatangkan kemudharatan dalam kehidupan. Sekiranya pekerjaan itu didapati bercanggah dengan syariah maka dicadangkan lebih baik tinggalkan dan mencari kerja lain yang lebih baik.
Sekian, terima kasih.