Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya pengurus Maahad Tahfiz. Pelajar di tahfiz kami sebahagiannya dari kalangan anak asnaf fakir miskin. Terkadang ada individu datang ingin memberi wang fidyah kepada tahfiz kami. Jadi adakah boleh kami menggunakan wang fidyah tersebut, membayar yuran makan pelajar asnaf miskin di tahfiz kami? Yuran tahfiz RM 450, RM 200 daripadanya adalah yuran makan bulanan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara dasarnya duit fidyah boleh dibelanjakan kepada golongan fakir dan miskin. Imam al-Nawawi menyatakan fidyah hanya diberikan kepada golongan yang berhak menerimanya sahaja iaitu kalangan fakir dan miskin sahaja.
Berdasarkan soalan yang diajukan, dibenarkan pihak pengurusan untuk menggunakan wang fidyah tersebut untuk tujuan khusus membayar yuran makan pelajar dari kalangan asnaf miskin sahaja.