Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz,
saya ada persoalan. Saya seorang isteri. Alhamdulillah suami saya seorang yang bertanggungjawab. Segala keperluan dan kemahuan sy dan anak2, suami dahulukan lebih dari diri sendiri. Cuma saya ingin mencari duit sendiri utk kemahuan saya dan membantu ayah sy. Suami sy izinkan. Suami tak pernah minta atau bertanya kemana perginya duit saya. Saya banyak menghabiskan duit saya kepada ayah saya bagi membalas jasanya membesarkan sy. Sebulan kami adik beradik telah membayar loan rumah dan kereta. Dia samping itu kami berikan wang belanja sebanyak rm1400. Tapi sejak kematian ibu, ayah sy me wanita lain dan ingin mengahwininya. Sejak berkenalan dgn wanita itu. Ayah sy sering meminta wang. Bukan sikit jumlah. Selang 2 hari 300. Sy tak sampai hati, mengeluh juga tapi sy tetap memberi. Dan saya juga tahu wang yg saya salurkan telah pergi ke teman wanita ayah sy. Perkara ini membebankan saya. Soalan sy, adakah sy derhaka apabila sy menipu ayah sy mengatakan sy telah kehabisan wang. Andai kata suami saya tidak redha sy berhempas pulas bukan lagi utk keperluan ayah sy, tetapi utk memenuhi kehendak ayah sy yg kerap meminta wang, adakah sy berdosa?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dinyatakan terlebih dahulu bahawa tindakan bekerja dengan mendapatkan keizinan suami dan memberi wang untuk perbelanjaan ayah adalah merupakan tindakan yang mulia dan terpuji. Walau bagaimanapun, perbuatan menipu tidak dibenarkan dalam Islam. Oleh itu, dinasihatkan agar berterus terang dengan ayah mengenai bebanan yang dirasa kerana perlu menampung perbelanjaan yang semakin meningkat disebabkan perubahan corak perbelanjaan ayah yang kemungkinannya berpunca dari kehadiran teman wanita ayah sebagaimana disebutkan dalam soalan yang diajukan. Perbincangan perlu dibuat antara adik-beradik dan ayah supaya memperoleh kata sepakat, begitu juga dengan suami. Namun, sekiranya jelas suami tidak mengizinkan isteri untuk terus bekerja semata-mata bagi menampung perbelanjaan ayah, maka seorang isteri wajib mentaati perintah suami.
Sekian, terima kasih.