Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz,
Saya ingin bertanya, adakah sah perkahwinan yang lifaz akad tunai sedangkan duit mas kawin adalah hutang.
Sekian, terima kasih
Jawapan
Menjawab persoalan yang diajukan, pengantin lelaki melafazkan maskahwin secara tunai sedangkan ia adalah hutang, maka dari sudut hukum pernikahan, ia adalah sah kerana maskahwin atau mahar bukanlah termasuk dalam rukun-rukun nikah, namun suami tetap wajib menyerahkan maskahwin tersebut kepada isterinya kerana adalah hak isteri yang wajib suami lunaskan. Adapun dari sudut akhlak dan adab, perbuatan atau lafaz tersebut termasuk dalam perbuatan yang tidak baik kerana seolah-olah menipu orang yang hadir dalam majlis, dan dia hendaklah bertubat dan mohon ampun kepada Allah SWT di atas perbuatannya tersebut.
Sekian, terima kasih.