Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, mohon pertanyaan..saya sering gelisah memikirkan perasaan saya setelah seketika dahulu saya bergurau bersama isteri saya tanpa niat yang berbunyi ayat " i nak cari payung emas" si isteri pulak menjawab, "kalau nk payung emas lepaskan i dulu" saya pulak dengan terlepas tanpa niat & bergurau berkata BOLEH. adakah perbuatan saya tersebut terjatuhnya talak? mohon soalan saya dijawab terima kasih..
Jawapan
Menjawab persoalan yang diajukan, secara umumnya lafaz "kalau nak payung emas lepaskan i dulu" boleh difahami sebagai lafaz kinayah kerana lafaz "lepaskan" itu boleh membawa pelbagai makna atau maksud yang tersirat, mungkin "lepaskan" itu bermaksud lepaskan isteri keluar dari rumah atau lepaskan ikatan pernikahan ataupun mana-mana maksud yang lain. Maksud yang tersirat itu hendaklah dirujuk kepada isteri sebagai orang yang melafazkan perkataan tersebut. Sekiranya isteri berniat atau bermaksud cerai maka perkataan "boleh" dari suami itu boleh menyebabkan talak itu jatuh, namun sekiranya tidak bermaksud cerai, maka talak tidak jatuh.
Walaubagaimanapun, tuan disyorkan merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian atau yang berkaitan dengannya adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih.