Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ada persoalan. Di platform jualan online, Aliexpress ada promosi khas bagi pengguna baru yang pertama kali ingin berbelanja di platform tersebut. Promosi khas itu cuma dapat sekali sahaja selepas pengguna mendaftarkan diri. Promosi khas tersebut dipanggil "Welcome Deal" dan diberikan pada pengguna baru melalui baucher sekali sahaja dengan pemotongan harga pembelian yang sangat tinggi. Jadi pengguna baru boleh melakukan pembelian pertama mereka dengan potongan harga murah.
Namun ada kawan-kawan saya yang menyalahgunakan faedah ini dengan membuat banyak akaun baru "dummy" bagi mendapatkan baucer "welcome deal" ini dengan berulang kali. Mereka menggunakan nama saudara mara, kenalan malah ada yang menggunakan nama palsu dalam pendaftaran akaun tersebut.
Soalan saya:
1) apa hukumnya menggunakan taktik tersebut dengan membuat banyak akaun baru (atas nama saudara mara, kenalan atau nama palsu) demi mendapatkan baucher "welcome deal" bagi membolehkan mereka membeli barangan dengan harga jauh lebih murah berulang kali.
2) apa mereka perlu buat dengan barangan yang telah dibeli tersebut? Perlukah mereka memberitahu kepada pihak Aliexpress tentang kelakuan mereka tersebut dan mengembalikan semula (return & refund) barangan tersebut? Atau boleh terus menggunakan barangan tersebut seperti biasa?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, Allah SWT telah berfirman di dalam Surah an-Nisa' ayat 29:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil.
Sememangnya berlaku penipuan dan penyalahgunaan kemudahan yang diberi dan sekiranya pihak Aliexpress ada menyatakan pendaftaran hanya seorang sekali, maka jelas penipuan yang dilakukan. Oleh yang demikan, apa yang perlu dilakukan adalah memaklumkan kepada pihak syarikat dan memulangkan semula sama ada dalam bentuk wang atau barang tersebut kepada pemilik syarikat. Namun jika perkara tersebut tidak mampu dilakukan maka mohonlah keampunan kepada Allah SWT atas kesilapan yang dilakukan, semoga Allah SWT mengampuni dosa kesilapan ini dan berazam tidak mengulangi perkara ini.
Sekian, terima kasih.