Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamualaikum soalan saya mengenai cari pendapatan sampingan di survey online dari luar negara dengan company ysense dan di bawah nya banyak lagi syarikat di bawahnya . soalan saya , saya ni seorang suri rumah sepenuh masa , dan memang tidak bekerja tiada gaji tiada jawatan , tapi soalan2 di dalam survey online kebanyakan permulaan dia akan tanya jawatan, umur , gaji bulanan , gaji tahunan , tapi saya isi semua tu seolah saya bekerja , saya ada gaji , saya ada jawatan , sedangkan tiada .. kalau saya tick saya suri rumah , saya tiada gaji , saya tidak dapat masuk semua survey tersebut dan tidak dapat jawab .. dia dikira saring untuk orang yang tidak bekerja ni .. soalan2 dia pulak bertanya tentang aircond , sabun basuh baju , ubat gigi , pakaian , politik , kereta , stesen minyak , perbankan syarikat , minuman , makanan dan sebagainya . 1) soalan saya adakah hasil yang saya dapat tu setelah saya bagitahu saya berjawatan , bergaji adakah halal ? 2) tujuan company ysense , rakuten , limesurvey ,yougov wujudkan tu adakah sasaran dia untuk orang 100% bekerja atau pelajar atau suri rumah ? 3) salah ke seorang suri rumah seperti saya usaha mencari duit sampingan dari rumah dengan jawab survey online di bawah company tersebut? bantu saya ustaz / ustazah . terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Sekiranya soalan-soalan di dalam survey tersebut membuat saringan berdasarkan status pekerjaan dan sebagainya, serta pengguna tidak dapat menjawab melainkan dengan menyatakan sesuatu yang berlainan dengan keadaan sebenar, maka adalah lebih baik untuk mencari platform yang lebih sesuai sebagai contoh untuk suri rumah. Hal ini kerana, Islam mengharuskan umatnya untuk mencari rezeki namun bukan dengan cara yang melibatkan penipuan.
Sekiranya platform tersebut lebih tertumpu kepada golongan yang bekerja, maka hal ini menunjukkan bahawa syarikat tersebut ingin mendapatkan maklum balas daripada golongan yang menggunakan produk atau perkhidmatan tertentu dalam kehidupan harian mereka. Sebagai suri rumah, anda mungkin tidak memenuhi kriteria ini, akan tetapi sekiranya ada ruang untuk menyertai platform tersebut maka ia adalah bergantung kepada kejujuran anda dalam memberikan maklumat yang betul.
Islam memberi kelonggaran untuk mencari rezeki bahkan melalui usaha seperti menjawab survey selagi mana pekerjaan tersebut tidak melibatkan penipuan, riba atau perkara yang haram. Sekiranya platform tersebut menawarkan pekerjaan yang sah dan tidak melanggar prinsip-prinsip syarak, maka ia boleh dianggap sebagai satu usaha yang baik untuk membantu keluarga atau diri sendiri.
Disarankan juga mencari platform yang lebih sesuai dengan status sebagai suri rumah tanpa perlu menipu dalam memberikan maklumat.
Semoga Allah SWT memudahkan urusan hamba-hamba-Nya yang berusaha dan ikhlas mencari rezeki demi keluarga tercinta.
Sekian, terima kasih.