Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kerana menjawab persoalan saya.
Saya ada menerima wang atas dasar sedekah dari kawan saya dan dia telah memaklumkan yang wang tersebut adalah dari hasil judi. Adakah saya boleh menerima dan menggunakannya? Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepad persoalan yang diajukan.
Wang hasil judi adalah wang atau harta tidak patuh syariah. Wang tidak patuh syariah tidak boleh digunakan untuk kegunaan atau perbelanjaan peribadi. Oleh itu, tidak boleh terima dan gunakan wang hasil judi tersebut untuk kegunaan sendiri. Wang tersebut hendaklah dibersihkan dengan membelanjakannya untuk manfaat orang awam seperti membaiki jalan, membina sekolah dan maslahat-maslahat awam yang lain, wang tersebut juga boleh diserahkan kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor sebagai agensi yang akan menguruskan wang tidak patuh syariah.
Sekian, terima kasih.