Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz.
Suami saya pencen ilat. Permohonan pertama untuk dapatkan pencen ilat gagal kerana suami nampak sihat walaupun dilampirkan laporan perubatan doktor. Kemudian sewaktu sesi kedua untuk rayuan permohonan pencen ilat itu suami saya telah berkerusi roda datang ke hospital semasa temujanji dengan panel. Permohonan tersebut lulus. Suami memang banyak penyakit, patah tulang belakang, bypass jantung dan ada ketumbuhan di otak dan doktor di hospital memang memberi sokongan untuk beliau pencen ilat cuma realitinya dia tidak berkerusi roda. Suami memang sering sakit dan mudah jatuh sakit jadi dia gagahkan diri sahaja sewaktu bekerja dahulu.
Saya pernah persoalkan pasal rancangan penggunaan kerusi roda sebelum temujanji dengan panel rayuan tersebut tapi dia merajuk. Di masa lain bila saya tanya berkenaan status duit pencen ilat itu, dia kata dia tahu apa yang dilakukan. Suami bagi duit tersebut pada saya setiap bulan untuk pembayaran hutangnya pada saya dan menggunakan wang tersebut untuk kegunaan kami sekeluarga. Saya sedih dan tertekan sebenarnya tapi saya pun serba salah. Saya rasa berdosa. Persoalannya, apa yang patut saya lakukan? Bolehkah saya terima wang tersebut yang membayar hutangnya pada saya? Adakah saya perlu lapor pihak berwajib? Adakah saya perlu sampai bercerai? Apa yang boleh lakukan untuk bantu keluarga saya daripada kemurkaan Allah?
Terima kasih ustaz atas perhatian dan nasihat.
(Mohon jangan publishkan soalan saya di web ustaz, terima kasih)
Jawapan
Berdasarkan keterangan puan, bahawa suami puan memang telah disahkan oleh doktor mempunyai pelbagai penyakit seperti patah tulang belakang, bypass jantung dan ada ketumbuhan di otak dan doktor di hospital juga telah memberi sokongan untuk beliau pencen ilat. Oleh yang demikian, sekiranya memang berdasarkan nasihat dan saranan doktor, suami puan layak untuk mendapat pencen ilat, maka setelah memohon dan layak diluluskan oleh jawatankuasa penilai, maka dari sudut hukum ianya adalah halal dan sah, kerana ada justifikasi yang sah daripada pihak hospital dan doktor yang berkaitan. Keadaan suami puan sama ada berkerusi roda atau tidak semasa temuduga itu, adalah mungkin faktor sampingan yang menjadi asas penilaian pihak yang berkaitan, kerana faktor utama adalah masalah kesihatan yang telah disahkan oleh doktor serta saranan yang telah mereka berikan.
Namun, sekiranya seseorang itu tidak mengalami masalah kesihatan yang serius tetapi berpakat dengan pihak doktor untuk membuat kenyataan dan saranan yang tidak benar untuk mengambarkan bahawa masalah kesihatannya serius dan tidak mampu bekerja, maka hukumnya adalah haram kerana melakukan penipuan.
Sekian, terima kasih.