Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan salam sejahtera Tuan yang dihormati. Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf jika soalan yang ingin saya utarakan kedengaran aneh dan tidak masuk akal. Saya ingin bertanya, apakah hukumnya melafazkan nazar dan sumpah secara rawak/tidak sengaja secara berulang kali tanpa ada niat yang jelas untuk menunaikannya? Saya pernah melakukan hal ini semasa saya masih kecil hingga remaja, bahkan ketika dewasa pun saya kadangkala melakukannya. Apakah nazar atau sumpah itu sah? Sekiranya ya tetapi saya yang melafazkannya sudah tidak ingat berapa jumlah sumpah atau/dan nazar yang diucapkan, apakah yang perlu lakukan? Saya sungguh menyesal kerana saya kini faham betapa berat dan besarnya dosa melanggar sumpah atau/dan nazar, namun saya hanya mampu membayar kafarat secara berpuasa, dan itu pun saya tidak pasti berapa jumlahnya dan tidak pula saya sanggup untuk berpuasa secara berturut-turut. Harap Tuan dapat membantu menjawab petanyaan saya. Terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Melafazkan nazar atau sumpah secara rawak tanpa niat yang jelas dianggap tidak sah dalam Islam, kerana niat adalah asas dalam ibadah. Jika sumpah dilafazkan secara tidak sengaja atau sebagai kebiasaan percakapan (lagha), ia tidak diambil kira sebagai nazar malah tidak dikenakan hukuman atau kafarah. Nazar ialah seseorang mewajibkan dirinya untuk melakukan kebaikkan kerana mendekatkan diri kepada Allah. Lafaz nazar mesti dilafazkan dengan lidah. Sekiranya hanya berniat di dalam hati, ia tidak dianggap sebagai nazar, namun disunatkan untuk melaksanakannya.
Di dalam lafaz nazar, perlu ada maksud yang mewajibkan pelaksanaannya, seperti berkata: "Aku bernazar untuk melakukan ini" atau "Wajib ke atasku untuk melakukan itu" dan diwajibkan membayar kaffarah sekiranya melanggar nazar tersebut. Demikian itu, dinasihatkan agar meninggalkan perbuatan melafazkan lafaz nazar secara berulang kali tanpa kesungguhan kerana umat Islam dianjurkan menjaga percakapan agar tidak melafazkan sesuatu yang sia-sia atau membawa bebanan yang tidak perlu.
Sekian, terima kasih.