Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ada membaca sebuah berita berkaitan dengan kejadian tanah runtuh di Gunung Jerai pada tahun 2021 yang berkemungkinan berpunca daripada amalan khurafat yang ada di kawasan tersebut yang disebut sebagai bala selain daripada faktor saintifik seperti hujan yang deras dan tanah yang mendap.
Saya sertakan pautan berita tersebut di bawah bagi rujukan pihak tuan :
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/hentikan-amalan-khurafat-elak-berlaku-bala-lagi-di-gunung-jerai-idris-ahmad-319179?amp=1
Di sini saya mempunyai beberapa persoalan yang memerlukan pencerahan daripada pihak tuan, saya senaraikan soalan tersebut di bawah :
1. Apakah pandangan pihak tuan berkaitan dengan pernyataan di atas, adakah kejadian tanah runtuh tersebut atau bencana alam yang berlaku di muka bumi ini merupakan satu bentuk bala daripada Allah SWT?
Minta pandangan pihak tuan berkaitan faktor bencana alam di muka bumi ini dari perspektif Islam.
2. Adakah Quran dan Hadis mempunyai panduan yang khusus kepada umat manusia dalam pengurusan bencana alam?
3. Bolehkah tuan cadangkan amalan yang boleh dipraktiskan dalam Islam secara individu atau komuniti bagi mencegah berlakunya bencana alam.
Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih dan mohon pencerahan bagi kedua-dua soalan saya .
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Bala atau musibah yang menimpa seseorang boleh sahaja ianya bala daripada Allah SWT dan boleh juga ianya adalah ujian kepada umatnya. Kita sebagai hamba tidak boleh dan tidak mampu mengetahui musibah yang menimpa adakah ia bala atau ujian. Ini kerana semua yang berlaku atas urusan dan kehendak Allah SWT. Maka, kita tidak boleh menyatakan musibah yang datang sebagai bala. Bahkan kita dituntut untuk sentiasa bersangka baik dengan menganggap ia adalah ujian daripada Allah SWT serta menginsafi diri.
2. Secara umumnya al-Quran dan hadis adalah sumber utama rujukan umat Islam dan panduan hidup kita. Pada kebiasaannya al-Quran dan hadis akan memberikan panduan umum kepada semua perkara. Seperti bencana alam, di dalam surah Al-Rum ayat 41 Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Berhubung panduan pengurusan bencana alam secara khusus dan terperinci boleh membuat rujukkan kepada mereka yang pakar dalam perkara tersebut atau melalui penulisan di dalam artikel atau jurnal.
3. Tiada amalan lebih baik dalam hal ini melainkan zikir dan doa. Doalah kepada Allah SWT agar negara kita aman makmur, tenteram dan selamat daripada segala musibah dan bencana.
Sekian, terima kasih.