Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asalamualaikum.
Saya ingin tanya sejarah air zamzam.
Adakah ia terhasil daripada hentakan kaki nabi ismail?
Yang saya jumpa, ia terhasil daripada hasil kuisan tumit/sayap malaikat. Ini ada kitab sahih al bukhari hadis no 3364.
Adakah kisah sejarah air zamzam terhasil daripada hentakan kaki nabi ismail ini palsu?
Jawapan
Kisah terpancarnya air zamzam adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA:
Maksudnya: Ibu Ismail menyusukan anaknya (Ismail) dan meminum daripada air yang ada sehingga akhirnya air tersebut habis. Dia (Hajar) dan juga anaknya merasa kehausan (disebabkan kehabisan simpanan air). Dia melihat anaknya dalam keadaan yang cemas kerana anaknya terus menangis. Dia pun pergi untuk mencari sumber air kerana tidak sanggup melihat anaknya kehausan. Dengan itu, dia pergi menuju ke bukit Shafa kerana ia adalah bukit yang paling hampir dengannya lalu berdiri di atasnya. Pandangannya diarahkan ke lembah di sekelilingnya, dengan harapan terdapat seseorang tetapi ternyata tiada seseorang pun. Setelah itu, dia pun turun (dari bukit Shafa) dan ketika sampai di lembah, dia mengangkat hujung pakaiannya lalu berusaha keras sehingga dia sampai ke lembah iaitu bukit Marwah, lalu berdiri di atasnya sambil melihat apakah terdapat seseorang di sana? Tetapi, ternyata tiada seseorang juga. Dia melakukan perkara sedemikian sehingga tujuh kali. Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW: “Itulah sa’ie yang mesti dilakukan oleh manusia antara dua bukit itu”. Ketika dia sampai di puncak bukit Marwah, dia terdengar suara lalu dia berkata kepada dirinya sendiri: “Diam!”. Dia cuba mendengarnya lagi lalu dia mendengar suara itu dengan berkata: “Engkau telah menperdengarkan suaramu, apakah bersama engkau terdapat pertolongan?”. Ternyata suara itu adalah malaikat Jibril yang berada dekat dengan tempat zamzam. Lantas, Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya, sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang lain) sehingga air keluar memancar. (Riwayat al-Bukhari)
Bagi menjawab soalan yang diajukan, berdasarkan riwayat al-Bukhari dalam Sahih beliau, terpancarnya air zamzam disebabkan kaisan tumit atau sayap Malaikat Jibril. Setakat ini, tidak dijumpai lagi riwayat yang menceritakan air zamzam terhasil daripada hentakan kaki Nabi Ismail AS.
Sekian, terima kasih.