BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam ustaz/ustazah. Saya ada pesakit endometriosis. Selepas operation pada tahun 2020, saya diminta doktor makan ubat Vissane untuk mengawal penyakit saya. Daripada tahun 2020 saya tidak datang haid, tapi sejak bulan lepas saya ada pendarah sedikit2 tapi setiap hari. Saya ingin bertanya macam mana saya nak tentukan darah itu darah haid atau istihadah. Saya tak pasti bila saya boleh solat atau berpuasa. Pendarahan bulan ini bermula dengan spotting pada 7/11/2024 hingga hari ini 17/11/2024 masih ada spotting lagi. Kadang2 darah berwarna hitam kadang2 berwarna merah cerah. Minta jawapan dari pihak ustaz/ustazah untuk bantu saya kerana masalah saya ini mengganggu ibadat saya. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

.الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, langkah pertama adalah memastikan tempoh atau masa darah itu keluar melebihi 24 jam. Sekiranya dalam masa 15 hari, tempoh darah keluar tidak melebihi 24 jam, maka ia bukan darah haid, sebaliknya ia adalah darah istihadhah.

Langkah yang kedua, sekiranya tempoh darah keluar melebihi 24 jam, pastikan sama ada ia keluar melebihi dari 15 atau tidak. Jika darah yang datang melebihi 15 hari, dan darah hari ke 15 tidak bersambung dengan hari ke 16 maka haidnya adalah sampai hari ke 15 itu. Manakala darah hari ke 16 atau selepasnya yang tidak bersambung dengan hari ke 15 itu adalah darah istihadhah. Semasa darah istihadhah keluar, wanita dikira berada dalam keadaan suci.

Jika darah hari 15 bersambung dengan darah hari ke 16 ini bererti darah haid telah bercampur dengan darah istihadhah

Untuk mengetahui yang manakah darah haid dan yang manakah darah istihadhah, terdapat (2) dua cara penyelesaian yang boleh dibuat:

Kaedah Tamyiz (Perbezaan Darah)

1. Jika dapat dibezakan darah-darah yang datang itu seperti ada darah yang kuat (iaitu warna gelap, likat atau berbau -contoh seperti warna merah gelap) dan ada darah yang lemah (berwarna terang seperti warna merah muda), maka hendaklah menjadikan darah yang kuat itu sahaja sebagai darah haid. Manakala darah yang lemah dijadikan sebagai darah istihadhah. Tetapi penyelesaian ini perlukan rekod yang jelas bagi bentuk-bentuk darah yang keluar setiap hari. Jika keliru dan tidak jelas atau tidak tahu membezakan bentuk-bentuk darah yang keluar, maka penyelesaian cara yang kedua boleh dilakukan iaitu:

Kaedah Adat Kebiasaan

2. Cuba ingat semula haid terakhir yang normal sebelum makan ubat Vissane. Begitu juga cuba ingat semula jumlah hari suci terakhir. Jika kebiasaan haidnya 7 hari dan sucinya 24 hari sebelum terjadinya gejala ini anggaplah haidnya pada kali ini juga 7 hari dan 24 hari adalah suci. Jika gejala ini masih berterusan hingga bulan seterusnya maka darah yang keluar pada bulan seterusnya boleh mengikut adat haid seperti yang dinyatakan.

.والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 43

message user image