Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamulaikum Tuan / Puan,
Saya ingin menanyakan hukum seorang suami melafazkan perkataan "i love u" kepada perempuan bukan mahram (kawan-kawan tempat kerja) di hadapan isteri,walaupun dikatakan hanya sebagai gurauan,& bolehkah seorang perempuan tersebut memanggil lelaki (suami orang) dengan berkataan "beb" di hadapan isteri lelaki tersebut, & siap melayani lelaki tersebut dengan hidangan air,
kalau seorang isteri tersebut merasa terasa hati,sakit hati,marah,kecewa adakah dalam islam dibolehkan,atau isteri hanya diam & menerima sahaja apa yang suami buat dihadapan isteri?.
Mohon pencerahan atas perkara tersebut,
Terima kasih,
Regards,
Diah
Jawapan
Islam telah menetapkan batas syarak dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan bagi memastikan hubungan antara lelaki dan perempuan terjaga khususnya ketika bermuamalah. Ia dilakukan bagi mengelak daripada berlaku fitnah atau perkara yang tidak diingini antara lelaki dan perempuan. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (al-Ahzab 33:32)
Tafsir al-Munir menjelaskan berkenaan ayat ini bahawa wanita hendaklah tidak melembutkan atau melunakkan suaranya ketika bercakap dengan lelaki asing. Hendaklah bersikap tegas, serius dan teguh bagi mengelak berlakunya niat jahat daripada lelaki atau mereka yang mempunyai masalah hati.
Justeru itu, seseorang yang bergelar suami atau orang asing tidak boleh mengucapkan perkataan seperti “I love u” kepada perempuan selain isterinya atau perempuan lain walaupun sekadar gurauan begitu juga sebaliknya. Sebagai suami dan isteri hendaklah sentiasa saling menasihati dan mengingatkan pasangan supaya menjaga adab pergaulan dengan rakan sekerja. Islam tidak menghalang adanya komunikasi antara lelaki dan perempuan, tetapi hendaklah dikawal dengan menjaga batas dan adab pergaulan sesama mereka sebagaimana ditetapkan menurut syarak.
Sekian, terima kasih.