BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt

saya seorang suami yang menjaga isteri yang menghidapi penyakit alzheimer. isteri saya berumur 43 tahun (2024). isteri saya masih period setiap bulan. keadaan isteri saya sudah tidak boleh mneguruskan diri sendiri dimana dia perlu dimandikan, dicuci najis dan dipakaikan pakaian. soalan saya:

1. Memandangkan dia masih period setiap bulan, bagaimana kaedah mandi wajib apabila beliau sudah suci dari period? adakah niat tu dibaca oleh saya?

terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa sekiranya penyakit alzheimer isteri sampai kepada tahap kelupaan yang kronik atau hilang ingatan, maka ia dianggap sebagai ma’zur (yang diuzurkan dan tidak ditaklifkan). Hukumnya dalam bab ibadah misalnya solat adalah menjadi tidak wajib. Namun, jika penyakit alzheimernya pada tahap yang masih boleh ingat dan mampu untuk melaksanakan ibadah dengan bantuan orang lain, maka kewajipan solat tetap dikenakan ke atasnya kerana syarat wajib solat adalah berakal. 

Adapun begitu, kewajipan solat dan ibadah-ibadah lain itu akan kembali wajib ke atas pesakit alzheimer sekiranya mereka kembali sedar daripada nyanyuk sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: Diangkat pena (tidak berdosa) daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh), dan orang yang gila sehingga dia berakal. (Riwayat Abu Daud) 

Justeru, berdasarkan kes yang dinyatakan, tidak wajib ke atas isteri untuk menunaikan ibadah kerana faktor alzheimer yang kronik, maka tidak perlu mandi wajib baginya kerana mandi wajib perlu diniatkan oleh tuan badan sendiri. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 51

message user image