BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

As'salamualaikum, saya ada soalan. Saya sudah lama musykil dan tertanya tanya dari dulu lagi. Apa hukum jika online seller tak kira la sama ada seller tiktok, instagram, facebook, whatsapp dsb. Contohnya hostlive tiktok yang menggunakan taktik dengan memberitahu kepada bakal pelanggan bahawa stok item barang yang pelanggan inginkan sudah tak banyak, walaupun stok masih belambak. Sebagai cara untuk menimbulkan kerisauan atau menggesa supaya pelanggan grab item atau barang tu cepat2 sebelum stok habis. Adakah hukum taktik ni haram atau dibolehkan? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya segala bentuk jual beli adalah harus sekiranya mengikut penetapan syariat Islam sama ada secara bersemuka ataupun di dalam talian seperti tiktok, instagram, facebook, whatsapp dan lain-lain. Hal ini disebutkan dalam kaedah fiqh menyebutkan:

الأصل في المعاملات الإباحة حتى يرد الدليل على خلافه

Maksudnya: Asal segala sesuatu dalam bidang muamalat ialah harus, sehingga adanya dalil yang menyanggahi dan mengharamkannya. 

Justeru, berdasarkan situasi yang tuan ajukan maka jual beli perlu menjauhi dari unsur-unsur yang diharamkan dalam muamalat antaranya jika terdapat di sana elemen Manipulasi & Penipuan (al-Ghisy). Berdasarkan operasi aktiviti ini, para pembeli digesa untuk membuat pembelian produk tersebut secara membuta tuli dan secara tidak langsung mempamerkan salah satu bentuk manipulasi kepada para pembeli yang terlibat. Selain itu, larangan ini juga telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa baginda bersabda :

مَن غشَّ فلَيسَ منّا

Maksudnya: Barangsiapa yang menipu, maka dia bukanlah dari golongan kami. (Riwayat al-Tirmidzi)

Di samping itu, setiap perkara itu berdasarkan tujuan dan niat seseorang. Hal ini juga berdasarkan kaedah fiqh: 

الأمور بمقاصدها

Maksudnya: Segala perkara itu bergantung kepada niatnya.

Justeru, ungkapan ini merujuk kepada prinsip asas dalam Islam bahawa setiap tindakan manusia dinilai berdasarkan niatnya. Maka jika diteliti setiap penjual yang menggunakan taktik dengan memberitahu kepada bakal pelanggan bahawa stok item barang yang pelanggan inginkan sudah tidak banyak, walaupun stok masih belambak adalah dengan niat untuk mendapatkan keuntungan hasil jualan melalui jalan menipu kepada para pelanggan maka hukumnya adalah haram berdasarkan hadis yang lalu. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 93

message user image