Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ingin bertanya berkaitan solat, puasa, dan haid. Apa yang saya faham secara umum, terdapat dua keadaan bagi mengesahkan tempoh haid seseorang.
1. Darah keluar mestilah dalam tempoh 24 jam (tempoh minimum).
2. Tempoh maksimum haid adalah tidak lebih daripada 15 hari.
Soalan saya:
Sebagai contoh, sekiranya tempoh keseluruhan haid seseorang pada sesuatu masa (dalam sebulan) adalah 10 hari. Dalam tempoh tersebut, hari ke-6 dan ke-7 tiada darah yang keluar. Darah kemudian keluar pada hari ke-8 hingga ke-10.
1. Sekiranya orang tersebut menunaikan solat dan berpuasa pada hari ke-6 dan ke-7, adakah sah kedua-dua ibadat tersebut?
2. Sekiranya orang tersebut tidak menunaikan solat dan ibadah puasa pada hari ke-6 dan ke-7, adakah dia perlu meng-qada'-kan nya?
Mohon pencerahan.
Terima Kasih.
Jawapan
Apabila seseorang yang didatangi haid berhenti darah pada hari ke 6 dan 7 kemudian datang semula darah, secara asasnya ia masih dianggap haid jika darah yang keluar masih dalam tempoh maksimum haid iaitu tidak melebihi 15 hari 15 malam. Keadaan tersebut berkemungkinan berlakunya fatrah atau naqa’.
Fatrah bermaksud keadaan yang terselang dalam haid (iaitu dicelah-celah masa darah haid yang terputus) di mana darah tidak mengalir keluar dan yang tinggal di dalam rahim hanyalah kesan darah, tetapi sekiranya dimasukkan kapas ke dalamnya ketika mencangkung, kelihatan terdapat warna darah pada kapas tersebut. Fatrah dianggap masih haid, jadi larangan wanita haid terpakai baginya iaitu tidak boleh menunaikan solat dan puasa.
Manakala naqa’ pula bermaksud apabila dimasukkan kapas ke dalam faraj dan tidak kelihatan pada kapas tersebut kesan darah dan diyakini darah telah berhenti. Apabila diyakini telah berhenti darah, hendaklah mandi wajib dan menunaikan ibadah solat dan puasa.
Namun begitu, jika darah keluar semula pada hari berikutnya tanpa melebihi tempoh maksimum haid, ia masih dianggap haid dan hendaklah meninggalkan perkara larangan bagi wanita haid. Puasa dan solat yang dilakukan pada tempoh tersebut adalah tidak sah. Hanya puasa sahaja yang perlu diqadha semula.
Sekian, terima kasih.