Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz saya ada soalan ingin bertanya yang bermain dipikiran saya harap pihak tuan @ mufti dapat selesaikan masalah saya makin saya baca semakin saya keliru...soalan saya mengenai fiqh dalam Islam Dari segi kebersihan..Kalau pakaian kita yang Kotor tiada bau hancing warna Dan rasa najis tetapi hanya sekadar bau hapak kain yang basah/lembap kering selepas kita buang air kecil adakah ia dikira ada najis?bolekah saya basuh pakaian tersebut dalam mesin basuh seperti biasa? Sebab saya tidak pasti mesin basuh saya bole mengalirkan air sambil keluar ke x ketika proses basuhan itu ...Adakah pakaian tersebut cuci Dan bole dibawa solat ini untuk pakaian suami yang kerja saya tidak pasti status air kelembapan itu hanya sekadar syak sahaja ....Akhir sekali kalau seluar yang terkena kotoran itu sahaja tidak tahu Dari mane datang tapi ada kesan Kotor seperti Lumpur begitu bole ke saya basuh macam biasa letak dalam mesin basuh tanpa membuang kotoran tersebut?? Harap dapat menjawab soalan saya sekarang saya hanya basuh macam biasa ikot fiqh kalau tidak pasti kita bole basuh pakaian macam biasa dalam mesin. Basuh ia dikira suci Dan bersih sah untuk solat betul ke fahaman saya...terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci.
Oleh itu, jika terdapat pakaian yang tidak dapat dipastikan terdapatnya ain najis pada pakaian terebut, maka pakaian tersebut adalah kekal bersih dan suci. Sekiranya pakaian tersebut kotor dan dimasukkan terus ke dalam mesin basuh, maka setelah selesai basuhan, pakaian tersebut telah bersih dan suci. Ini kerana membasuh pakaian dengan menggunakan mesin basuh adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. Ini juga bertepatan dengan apa yang disebut oleh para fuqaha di dalam kitab dan fatwa yang muktabar. Setelah itu, pakaian tersebut boleh dipakai dan dibawa untuk bersolat.
Sebagai maklumat tambahan membasuh pakaian dengan menggunakan mesin basuh automatik adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh para fuqaha di dalam kitab dan fatwa yang muktabar.
Metod basuhan yang menggunakan mesin basuh otomatik adalah menepati dua kaedah basuhan yang disarankan oleh fuqaha Shāfi‘iyyah iaitu;
a) Penggunaan air mutlak yang bersih walaupun kurang daripada dua kolah.
b) Berlakunya proses kemasukan air (murur al-mā’) ke atas pakaian yang dimasukkan lebih awal dalam drum mesin basuh dan mesin dobi, bukan sebaliknya.
c) Terbukti berlakunya bilangan ('adad) basuhan air beberapa kali untuk menghilangkan kesan najis. Pertukaran air basuhan pertama akan dikeluarkan sebelum air baharu dimasukkan bagi putaran kali kedua.
c) Pakaian telah dikeringkan secara putaran (spinning) setelah selesai basuhan berdasarkan mod yang ditetapkan pada kedua-dua mesin. Proses putaran ini menepati kaedah perahan (i’sar) pakaian yang dihukumkan sunat oleh Shāfi‘iyyah dan wajib menurut Hanafiyyah.
Berasaskan prinsip-prinsip di atas, kenyahwujudan najis pada pakaian yang dibasuh menggunakan mesin basuh automatik itu sewajarnya telah dianggap bersih dalam konteks ṭahārah sebagai syarat sah ibadat solat, bukan sekadar menghilangkan kotoran najis (izālah al-najāsah) semata-mata.
Sehubungan itu, seluar yang terkena kekotoran lumpur, jika dimasukkan terus ke dalam mesin basuh, maka setelah selesai dibasuh ianya telah menjadi bersih dan suci daripada kekotoran seperti yang telah dinyatakan di atas. Lumpur bukanlah satu yang bersiat najis. Namun adalah lebih baik sekiranya kekotoran yang ada pakaian itu dibuang dan dibasuh terlebih dahulu dengan air mutlak sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh. Untuk maklumat lebih lanjut sila rujuk garis panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor di pautan berikut:
https://www.muftiselangor.gov.my/images/pdf/Garis%20Panduan%20&%20Penerbitan/Hukum%20Cucian%20Menggunakan%20Mesin%20Basuh%20Automatik%20dan%20Separa%20Automatik.pdf
Sekian, terima kasih.