Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz. Saya nak tanya soalan, kenapa ustaz2 selepas kuliah selalu berkata : SesungguhnNya yang baik semuaNya dari Allah yang lemah (buruk) dari saya sendiri (ustaz). Sedangkan rukun iman ke 6, baik dan buruk dari Allah. Sekian, wasalam.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, segala kuliah, ceramah agama atau apa sahaja bentuk pengajian yang disampaikan oleh para guru dan ustaz adalah berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang dipelajari dan difahaminya. Ilmu yang disampaikan kepada masyarakat dan pelajarnya adalah mengikut kefahaman dan pandangannya yang juga merupakan hidayah daripada Allah SWT. Kemungkinan ada pandangannya yang menjadi khilaf atau perbezaan pendapat dengan orang lain dan ada yang silapnya disitu. Justeru, mereka akan berkata sedemikian di atas kekhilafan dirinya sendiri dalam menyampaikan kuliahnya. Manakala rukun iman ke 6 iaitu percaya qada’ dan qadar Allah SWT, adalah mempercayai bahawa segala sesuatu perkara baik atau buruk setiap kejadian itu adalah dengan ketentuan dan ketetapan daripada Allah SWT. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.