Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t..
Saya adalah bekas pekerja salah sebuah bank konvensional, dan bekerja sebagai “debt collector“ pengutip hutang bagi pelanggan yang mempunyai tunggakan bayaran bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan pinjaman Islamik sejak tahun 2014.
Namun bermula pada zaman PKP pada tahun 2020, selain sebagai “debt collector” pengutip hutang, saya juga diminta terlibat secara langsung dalam skop kerja “restructuring accounts” penstrukturan semula akaun pinjaman perumahan, dengan menyediakan kontrak perjanjian bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan pinjaman Islamik jika terdapat pelanggan yang mempunyai masalah kewangan untuk membuat bayaran tunggakan tersebut, sebelum saya tersedar dari kesilapan besar ini dan akhirnya telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada tahun lepas.
Jumlah keseluruhan akaun pinjaman konvensional dan akaun pinjaman Islamik yang terlibat dalam “debt collections” kutipan hutang di bawah pemantauan “bucket team” saya adalah lebih kurang sama sahaja di antara kedua-dua pinjaman tersebut.
Selain saya menerima gaji bulanan, saya juga menerima bayaran “incentive” bonus pada setiap bulan sekiranya berjaya mencapai KPI yang ditetapkan oleh pihak pengurusan bank dan “incentive” bonus ini pula akan dibayar untuk setiap akaun pinjaman yang telah berjaya dibuat “restructuring” penstrukturan semula berdasarkan kepada “outstanding balance” akaun pinjaman tersebut. “Incentive” bonus ini akan dibayar lebih tinggi bagi akaun pinjaman yang mempunyai “outstanding balance“ yang besar dan sebaliknya bagi akaun pinjaman yang mempunyai “outstanding balance” yang lebih kecil.
Berdasarkan gambaran situasi di atas, saya mempunyai beberapa kemusykilan seperti di bawah :
1) Adakah status gaji bulanan dan “incentive” bonus yang diterima itu adalah wang haram/ syubhah kerana keterlibatan dalam skop kerja “debt collections” pengutipan hutang bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan pinjaman Islamik?
2) Jika gaji bulanan dan “incentive” bonus itu adalah wang haram/ syubhah, bagaimanakah cara pengiraan yang betul untuk saya serahkan kepada pihak Baitulmal? Ini kerana, sehingga saat ini wang terimaan tersebut masih berbaki lebih kurang RM45,000.00 di dalam akaun simpanan Islamik yang telah diasingkan.
Adakah wang tersebut perlu diserahkan kesemuanya, iaitu sebanyak RM45,000.00 kepada pihak Baitulmal dan jika tidak, bagaimanakah pula cara pengiraannya?
3) Adakah saya wajib menggantikan semula bayaran gaji bulanan dan “incentive” bonus yang telah dibelanjakan dengan jumlah lebih kurang RM400,000.00 sepanjang tempoh pekerjaan saya hampir 10 tahun di bank berkenaan? Ini kerana, sehingga pada hari ini saya masih tidak bekerja dan hanya bergantung sepenuhnya kepada wang pencen penakat arwah suami saya lebih kurang RM800.00 sebulan.
4) Apakah status wang caruman KWSP hasil dari pekerjaan saya sebelum ini sebagai “debt collector” pengutip hutang bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan pinjaman Islamik sedangkan wang caruman KWSP saya adalah berasaskan simpanan Shariah berkuatkuasa pada tarikh 01/01/2019?
5) Jika wang caruman KWSP tersebut adalah wang haram/ syubhah, bagaimanakah cara pengiraan yang betul untuk saya serahkan kepada pihak Baitulmal sebaik sahaja saya dibenarkan untuk membuat pengeluaran sepenuhnya ketika mencapai umur 55 tahun kelak?
Adakah saya perlu serahkan kesemua wang caruman KWSP, iaitu berjumlah setakat hari ini adalah RM153,000.00 memandangkan keterlibatan pekerjaan saya dalam “debt collections” pengutipan hutang bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan pinjaman Islamik?
6) Apakah pula status wang yang diterima dari hasil jualan rumah, iaitu sebanyak RM108,000.00 yang sebelum ini rumah berkenaan dibeli menggunakan wang caruman akaun 2 KWSP dan “incentive” bonus dari pekerjaan saya sebagai “debt collector” pengutip hutang bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan pinjaman Islamik (hampir 10 tahun dari tahun 2014 sehingga 2023) dan sebelum itu, saya juga pernah bekerja di sebuah restoren nasi ayam (hampir 4 tahun dari tahun 2010 sehingga 2013), di mana terdapatnya percampuran wang caruman KWSP hasil dari 2 pekerjaan tersebut di dalam akaun simpanan Shariah KWSP saya?
Untuk makluman pihak tuan/ puan, jumlah pengeluaran akaun 2 KWSP yang dibuat pada tahun 2016 adalah sebanyak RM21,100.00 sebagai bayaran deposit (bagi tujuan pembelian rumah berkenaan) dan jumlah keseluruhan wang caruman KWSP setakat tahun 2013 adalah sebanyak RM25,000.00, yakni wang halal hasil dari bekerja di sebuah restoren nasi ayam terdahulu sebelum saya terlibat dalam dunia perbankan konvensional bermula pada tahun 2014. Sementara pinjaman perumahan yang dibuat pula adalah berasaskan pembiayaan Islamik, iaitu “Commodity Murabahah Home / Shophouse Financing-i” dari Maybank Islamic. Namun begitu, “legal fee” bayaran guaman sebanyak RM7,000.00, dan bayaran bulanan pinjaman perumahan serta “advance payment” yang telah dibuat sebanyak RM129,000.00 adalah menggunakan wang gaji dan “incentive” bonus yang diterima pada setiap bulan dari bank konvensional berkenaan.
7) Jika wang dari hasil jualan rumah tersebut adalah wang haram/ syubhah, bagaimanakah cara pengiraan yang betul untuk saya serahkan kepada pihak Baitulmal?
Adakah saya dibenarkan untuk mengambil wang modal dari bayaran deposit rumah tersebut, iaitu sebanyak RM21,100.00 memandangkan ia adalah wang halal hasil dari bekerja di sebuah restoren nasi ayam sehingga tahun 2013 sebelum terlibat dalam dunia perbankan konvensional bermula pada tahun 2014, meskipun pengeluaran kali pertama wang caruman KWSP tersebut dibuat pada tahun 2016 bagi tujuan pembelian rumah berkenaan?
8) Apakah pula status wang yang diterima dari hasil kutipan sewa rumah berkenaan sebelum berjaya dijual baru-baru ni?
9) Adakah saya wajib menggantikan semula wang kutipan sewa yang telah dibelanjakan dengan jumlah lebih kurang RM72,000.00, sepanjang tempoh 6 tahun sewaan? Ini kerana, sehingga pada hari ini saya masih tidak bekerja dan hanya bergantung sepenuhnya kepada wang pencen penakat arwah suami saya lebih kurang RM800.00 sebulan?
Jawapan
1. Pendapatan hasil daripada harta yang tidak patuh syariah adalah harta haram yang diperolehi melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah SWT. Syarak telah melarang lapan perkara pokok iaitu riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar (monopoli barangan), rasuah dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya).Manakala kebanyakan fuqaha’ mutakhir ini mentakrifkan harta tidak patuh syariah ialah harta yang dimiliki dan diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, memutuskan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
i. Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
ii. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
iii. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal”.
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, dengan memetik sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas. (Riwayat al-Bukhari)
Sememangnya sebagaimana diketahui, bekerja dalam industri perbankan yang menawarkan konvensional adalah haram di sisi Islam kerana terkandung di dalamnya pengamalan riba. Dari segi keterangan umum yang diberikan kerja puan sememangnya ada berkait rapat dengan perbankan konvensional sama ada sebagai debt collector atau restructuring accounts. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Berdasarkan hujah dan dalil di atas, status gaji dan incentive yang diterima sekiranya berkait dengan konvensional adalah haram, manakala percampuran yang berlaku dalam hasil gaji yang diterima menyebabkan menjadi syubhah.
2. Perkiraan berkaitan ini adalah lebih baik, puan berhubung langsung dengan pihak BaitulMal bagi memastikan kes ini diuruskan dengan baik dan cermat.
3. Sekiranya wang dari pekerjaan tersebut masih berbaki, maka ia perlu diserahkan kepada pihak BaitulMal dan sekiranya tiada, maka bertaubat kepada Allah SWT dan moga Allah SWT mengampuni kesilapan yang dilakukan.
4. 5,6, dan 7. Wang caruman KWSP sebelum 2019, jika sumber pekerjaan bercampur (konvensional dan Islamik), ia dianggap syubhah, manakala caruman selepas 2019 atau selepas tarikh kuatkuasa KWSP Islamik, jika caruman diteruskan dari pekerjaan tersebut, status syubhah masih terpakai kerana sumbernya bercampur. Cara pengiraan adalah dengan mengira sejauh mana sumbangan dari sudut konvensional dan Islamik sekadar yang mampu dilakukan dengan mengambil purata. Selepas itu serahkan bahagian yang tidak patuh syariah kepada BaitulMal.
8. Pendapatan hasil sewaan adalah halal dan tiada berkaitan dengan pendapatan kerana punca kewangan pembelian rumah itu adalah daripada KWSP.
9. Tidak perlu menggantikan sewaan rumah tersebut,
Kesimpulannya, semoga puan bertaubat kepada Allah SWT semoga diampunkan atas kesilapan yang telah dilakukan berkemungkinan faktor kekurangan ilmu dan sebagainya. Sekiranya tida pendapatan lain untuk bergantung hidup atau hanya mengharapkan duit pencen suami, maka baki daripada pendapatan yang tidak patuh syariah boleh digunakan untuk meneruskan kehidupan tanpa bermewah dan berlebih-lebihan dan segala baki yang ada tidak perlu dipulangkan mengambilkira situasi dan keadaan yang sedang dilalui.
Sekian, terima kasih