Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Saya ingin bertanya tentang, apakah hukum jika bekerja di badan kebajikan bersama orang bukan islam dan bekerja didalam Gereja ? Adakah diperbolehkan atau tidak ?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Bekerja dalam organisasi kebajikan bersama orang bukan Islam adalah dibolehkan selagi tugas tersebut tidak bertentangan dengan prinsip syariah dan tidak melibatkan sokongan terhadap kepercayaan agama lain. Namun bekerja di dalam gereja adalah ditegah kerana seseorang Muslim dilarang terlibat dalam sebarang pekerjaan yang boleh dianggap sebagai bentuk sokongan terhadap agama lain. Oleh itu, bekerja di rumah ibadat bukan Islam adalah tidak dibenarkan dalam Islam, selaras dengan prinsip syarak yang melarang segala bentuk kesyirikan dan menegah sebarang bentuk kerjasama atau bantuan yang membawa kepada kesyirikan. Larangan ini bertujuan mengelakkan kita dari sebarang salah tanggap dan fitnah bahawa umat Islam mengiktiraf agama lain. Sehubungan dengan itu, seseorang Muslim perlu memelihara iman dan menjauhi sebarang bentuk syubhah sepertimana hadis daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat). (Riwayat al-Bukhari)
Sekian, terima kasih.