BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan hutang. 
 

Saya ada guna duit raya anak lebih dari RM500. Guna untuk beli lauk di rumah, makan saya hari harian dll (banyak saya dah lupa beli apa). Saya guna duit tu sikit demi sikit sampai jumlah tu bila saya kira semula jadi yang seperti saya beritahu di atas. 
 

soalan saya, apa hukum sekiranya saya ganti menggunakan duit nafkah yang suami beri kepada saya secara sikit demi sedikit? Tetapi pula, saya tidak memberitahu suami yang saya gunakannya untuk ganti duit anak. Ini kerana suami tidak tahu jumlah duit raya anak yang telah saya gunakan dari dulu. 
 

tolong saya. Kebelakangan ni saya tak senang hati tentang hutang ini. Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Ingin dijelaskan terlebih dahulu hukum ibu bapa menggunakan duit raya anak boleh disimpulkan kepada tiga keadaan iaitu:

  1. Harus digunakan untuk maslahat anak dan tidak perlu digantikan.
  2. Harus digunakan untuk tujuan peribadi ibu bapa walaupun tanpa izin anak sekiranya ibu bapa dalam keadaan terdesak dan memerlukan namun ia terhad kepada kadar keperluan sahaja tanpa bermewah-mewah.
  3. Harus digunakan duit tersebut untuk tujuan peribadi walaupun ibu bapa tidak berada dalam keadaan terdesak, namun ia berstatus qard (pinjaman) dan perlu digantikan semula.

Sehubungan itu, merujuk kepada persoalan yang diajukan, tugas menyediakan makan atau lauk di rumah adalah merupakan salah satu tanggungjawab suami. Sekiranya suami tidak menyediakan nafkah makan dan pakai dalam erti kata suami tidak membelinya sendiri namun suami telah memberikan wang nafkah kepada isteri agar isteri membeli sendiri makanan, lauk pauk dan keperluan nafkah asas yang lain, maka isteri boleh menggunakan wang nafkah yang diberi untuk tujuan tersebut tanpa perlu menggunakan duit raya anak. Akan tetapi, sekiranya jumlah wang nafkah yang diberikan oleh suami itu tidak mencukupi dan menyebabkan isteri terpaksa mengguna pakai duit raya anak, maka dalam keadaan ini ia dikategorikan sebagai terdesak dan harus menggunakan duit raya anak tanpa perlu menggantikannya. Walau bagaimanapun, sebaiknya isteri dan suami perlu berbincang dan saling mengetahui tentang perkara ini bagi sama-sama merancang ekonomi dalam rumahtangga.

Adapun, sekiranya isteri menggunakan duit raya anak dalam keadaan yang tidak mendesak dengan tujuan berbelanja untuk diri sendiri sedangkan dalam masa yang sama masih terdapat sumber kewangan yang lain, maka ia dikira sebagai pinjaman dan perlu digantikan semula. Sebaiknya, isteri mendahulukan berbelanja menggunakan wang nafkah yang diberi oleh suami terlebih dahulu berbanding menggunakan duit raya anak. Justeru, tidak menjadi masalah sekiranya isteri mengganti semula duit raya anak menggunakan wang nafkah yang diberikan oleh suami, kerana wang nafkah tersebut telah menjadi hak milik isteri dan terpulang bagaimana ia dibelanjakan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 99

message user image