Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Sebelum saya ambil ubat perancang kehamilan kitaran haid saya normal 7-8 hari haid dan lebih kurang 26 hari suci. Selepas mengambil ubat perancang kali pertama, sy didatangi haid berterusan hampir sebulan kemudian tiada darah sebulan. Bila cucuk ubat kali kedua pada 2/10, saya mula haid pada 4/11 berterusan hingga sekarang. Pada 7/12 saya perasan darah yang keluar banyak sedikit daripada biasa tapi tak jelas perbezaan warna dari sebelumnya. Betulkah jika saya kira 15 hari pertama darah keluar itu adalah haid, dan seterusnya istihadah. Kemudian pada 7/12 itu adalah darah haid semula? Atau kiraan haid saya perlu ikut sebelum ambil ubat perancang iaitu 8 hari sahaja, seterusnya adalah istihadah? Mohon penjelasan.
Jawapan
Di dalam mazhab al-Syafie tempoh minimum bagi haid adalah sehari semalam. Manakala tempoh maksimum bagi haid adalah selama 15 hari. Secara umumnya, jika darah yang keluar selepas daripada itu, maka ia dihukum sebagai darah istihadah atau darah yang keluar disebabkan oleh penyakit. Bagi darah yang keluar selepas daripada 15 hari maka ia tidak dikira sebagai darah haid dan solat adalah wajib ditunaikan pada waktu itu.
Walau bagaimanapun, jika darah keluar berterusan melebihi tempoh maksimum haid berkemungkinan ia merupakan keadaan darah bercampur antara haid dan istihadhah. Ia tidak hanya boleh ditentukan dengan 15 hari pertama adalah haid dan bakinya adalah istihadhah. Untuk membezakan antara darah haid dan istihadhah ia boleh ditentukan dengan dua kaedah berikut:
Kaedah tamyiz (membezakan) jenis darah sama ada darah kuat atau lemah melalui perbezaan warna dan sifat darah tersebut. Darah kuat dianggap sebagai darah haid manakala darah lemah adalah darah istihadhah. Sebagai contoh 7/12 hingga 13/12 adalah darah kuat dan darah keluar sebelum 7/12 atau selepas 13/12 adalah darah lemah. Maka, hanya darah kuat yang keluar dari 7/12-13/12 sahaja dianggap darah haid dan selainnya adalah darah istihadhah. Jika tidak dapat dipastikan perbezaan darah tersebut kuat atau lemah, boleh menggunakan kaedah kedua iaitu;
Kaedah adat kebiasaan haid puan sebelum puan mengambil pil perancang. Jika adat sebelumnya adalah 7-8 hari adalah haid dan 26 hari adalah suci, maka darah yang keluar boleh ditentukan mengikut adat kebiasaan haid puan.
Puan hendaklah mengira semula darah yang keluar selama sebulan selepas puan mengambil pil perancang kali pertama. Jika telah ditentukan perbezaan darah haid dan istihadhah, didapati terdapat waktu yang sepatutnya adalah istihadhah, hendaklah diganti semula solat yang tertinggal ketika itu. Hendaklah dipastikan kiraan hari sebaiknya pada bulan-bulan sebelum ini hingga sekarang untuk membezakan darah yang berterusan keluar tersebut yang mana satu darah haid dan istihadhah.
Sekian. terima kasih.