Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya apakah status hukum worldcoin yang di bawah myEg?
Jawapan
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas. (Riwayat al-Bukhari)
Berkaitan dengan worldcoin, ia bergantung kepada keseluruhan konsep bagaimana ia diniagakan. Masih belum jelas bagaimana komisyen dan keuntungan worldcoin ini diuruskan. Untuk pengetahuan, sebarang perkara baharu yang wujud dalam dunia kewangan seperti ini perlu kajian menyeluruh sebelum sesuatu keputusan boleh dibuat. Adapun isu utama yang dapat diketengahkan adalah tentang keselamatan data peribadi yang boleh tergugat akibat perkongsian data secara imbasan mata. Sekiranya badan berautoriti kewangan seperti Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti belum mengesahkan keselamatan sistem tersebut, dan belum ada pengesahan syariah mengenainya, adalah lebih baik untuk mengelakkan diri daripada terlibat. Demi menjaga keselamatan dan kepentingan, adalah dinasihatkan agar tidak melibatkan diri sama sekali dalam perkara ini.
Sekian, terima kasih