BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Dengan Nama Alah Yang Maha Pemurah Maha Penyayang

Seorang isteri kedatangan haid pada 23 Ogos 2023 (6 Safar 1445) selama seminggu (7 hari). Pada 30 April 2024 (21 Syawal 1445) beliau telah diceraikan talak satu (1) di dalam Mahkamah Rendah Syariah. Kemudian pada 17 Julai 2024 (10 Muharam 1446) beliau kedatangan haid selama satu (1) hari. Kemudian dari itu beliau tidak lagi kedatangan haid sehingga melepasi duabelas (12) bulan hijrah (andaikan 22 Muharam 1447 = 18 Julai 2025). Apabila wanita tidak kedatangan haid selama 12 bulan komariah berturut-turut, wanita berkenaan boleh diketegorikan putus haid atau monopous.

Jika dalam keadaan biasa edah wanita yang diceraikan adalah tiga (3) kali suci manakala wanita yang putus haid adalah tiga bulan

Wanita ini kelihatannya berubah tempoh edahnya dari tiga kali suci kepada tiga bulan

Soalannya tiga bulan itu dikira bermula dari mana? Atau wanita itu tetap dikira mempunyai edah 3 kali suci?

Sekian terima kasih

 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, tempoh iddah bagi wanita yang belum mengalami menopause adalah mengikut kiraan iddah wanita yang mengalami haid iaitu sebanyak 3 kali suci. Ini berdasarkan surah al-Baqarah ayat 228:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).

Beriddah dengan kiraan 3 kali suci merupakan asal bagi kiraan iddah. Ia digunakan sekalipun jarak antara setiap haid itu lama atau luar daripada kebiasaannya. Perkara ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam I'anah al-Talibin: Sekiranya orang yang beriddah dengan bulan datang semula haid, maka dia mesti menukar kiraan iddahnya kepada 3 kali suci secara ijmak kerana ia adalah asal bagi iddah.

Oleh itu, sekalipun tempoh antara haid dengan haid yang lain itu lama atau di luar kebiasaannya, maka dia tetap perlu beriddah dengan 3 kali suci selagi mana dia masih berhaid.

Manakala, dalam kes yang diajukan, sekiranya isteri diceraikan dalam keadaan suci kemudian berhaid dan tidak hamil, kemudian sebelum tamat tiga kali suci, isteri telah mengalami putus haid (menopause), perkara utama yang perlu dilakukan adalah mendapatkan pengesahan daripada doktor pakar mengenai tempoh menopausenya. Bermula daripada tarikh dia disahkan sebagai menopause itu, wajib isteri menjalani ‘iddah selama tiga bulan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 47

message user image