BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada soalan mengenai lafaz taklik sy.

1) Pada 3 bulan lepas saya telah berjanji Dan melafazkan taklik ke atas diri saya di hadapan isteri saya mengenai hal berkaitan mesin Judi slot online.

2) Sebelum melafazkan taklik tersebut saya mengeluarkan kata-kata berjanji tidak akan mengulangi permainan tersebut. Selepas berjanji barulah saya melafazkan taklik. Ayat saya adalah seperti berikut.

     - " Tolong la percaya, saya berjanji selepas ini saya tidak akan mengulangi perbuatan bermain permainan mesin Judi online lagi. Tolong la faham dan dengar dulu nk bincang.  Berilah peluang terakhir kepada saya kalau tidak percaya dengar dulu saya nk bertaklik."

       Lafaz Taklik

" Saya janji dengan awak saya tidak akan bermain lagi mesin slot Judi online itu lagi. Tolong dengar ni betul-betul kata-kata saya ini. Selepas ini kalau saya menekan lagi butang "SPIN untuk memulakan permainan" untuk mesin Judi slot online itu dengan jari ini walaupun hanya sekali tidak kira sama ada mesin slot itu menggunakan kredit percuma, maka dengan itu jatuhlah TALAK 3 kepada kamu. Ini adalah janji terakhir saya Dan peluang terakhir saya untuk berubah. Tolong la maafkan saya, inilah janji yang terakhir, saya berjanji akan berubah ke arah lebih baik untuk keluarga kita."

3) Permasalahan Dan kemushkilan

     - Selepas 3bulan kemudian, saya hanya menjadi penonton kawan saya yang bermain mesin Judi online tersebut dan memberi pendapat untuk membuat permainan apa di dalam pilihan slot yang ada, saya hanya memberikan pendapat sahaja. Kawan saya juga meminta ID Dan password saya untuk mendapatkan bonus rebate dari downline yang ada pada ID game saya. Saya memberi ID Dan kata laluan kepada dia untuk masuk dan ada juga saya yang log masuk untuk melihat jumlah komisen yang ada. Saya ada membuka ID tersebut dan menyerahkan kepada dia, selepas itu dia menekan terima komisen tersebut dan memilih permainan untuk bermain. Hanya dia yang menekan butang "SPIN" pada halaman permainan tersebut. Saya langsung tidak sama sekali menekan butang "SPIN" mana2 permainan slot. Ada kah ini dikira saya telah melanggar lafaz taklik saya yang seperti tersebut?

   - Permasalahan kedua ialah saya ada meminta kawan saya membuka ID saya selepas ID dia kehabisan kredit percuma, mainlah ID saya kalau nak main. Saya masih menjadi penonton, tapi sampai sekarang saya tidak sesekali menekan butang 'SPIN" untuk memulakan permainan slot tersebut. Saya hanya menonton sepanjang mesin slot online itu berjalan Dan sekadar memberi pendapat sama ada keluar kepada permainan yang atau boleh teruskan dalam permainan yang sama.

     - Permasalahan ketiga adalah saya ada membuka ID sendiri dan masuk ke halaman utama permainan, tetapi untuk pemilihan jenis permainan yang mana untuk masuk itu saya meminta tolong anak saya untuk menekan butang masuk ke halaman permainan tersebut dan dia bertanya minta tolong apa, dan saya memberitahu kepada dia untuk bermain kena menekan butang "SPIN" yang itu dan dia segera menggunakan jari dia sendiri menekan butang permulaan "SPIN" automatik yang tersebut. Selepas itu permainan slot itu berjalan sendiri dan saya hanya menonton permainan slot itu berjalan sampai kehabisan kredit. Saya hanya menekan butang tutup halaman atau pangkah halaman untuk keluar terus ke halaman utama skrin Telefon bimbit. Untuk pengetahuan, anak saya dalam situasi ini berumur 5tahun.

   - Sepanjang masa ini saya tidak pernah sesekali menekan sendiri dengan jari saya, pilih permainan atau menekan masuk ke permainan pilihan. Saya hanya menonton permainan berjalan sahaja. Jari tangan saya sendiri langsung tidak pernah sesekali menekan butang permulaan permainan "(SPIN)" mana-mana permainan slot.

3) Saya meminta jasa tuan untuk menjawab setiap permasalahan seperti di atas berhubung dengan lafaz taklik saya tersebut. Adakah bersabit atau tidak dengan semua penerangan saya. 

4) Terima kasih tuan. Assalamualaikum.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Lafaz taklik adalah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya perlanggaran terhadap apa yang disyaratkan itu.Taklik juga bermaksud menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “kalau aku tipu kau lagi, jatuh talak.” atau sebagainya. Sekiranya berlaku perlanggaran pada syarat taklik tersebut maka boleh membawa berlakunya perceraian.

Lafaz taklik yang tuan lafazkan kepada isteri tuan iaitu "Selepas ini kalau saya menekan lagi butang "SPIN" untuk memulakan permainan" untuk mesin judi slot online itu dengan jari ini walaupun hanya sekali tidak kira sama ada mesin slot itu menggunakan kredit percuma, maka dengan itu jatuhlah TALAK 3 kepada kamu." Lafaz ini jelas menunjukkan secara khusus, apabila suami menekan butang SPIN dengan jarinya sendiri maka jatuhlah talak ke atas isterinya, ia menafikan sekiranya dengan jari orang lain selain dari suaminya itu.

Walau bagaimanapun, di dalam menentukan sama ada talak itu jatuh atau tidak, maka disyorkan agar perkara tersebut dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57. Ini kerana pengesahan apa-apa lafaz cerai adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sedikit peringatan untuk para suami agar tidak memanipulasi atau mengambil kesempatan atas taklik yang dilafazkannya itu. Lafaz taklik yang diungkapkan itu sepatutnya menjurus kepada memperbaiki diri dan kehidupan berumahtangga serta dapat menjadi asbab agar pasangan atau suami meninggalkan perkara yang tidak baik dan dosa itu secara total, namun sangat mendukacitakan sekiranya lafaz itu masih menyebabkan suami atau pasangan tetap melakukan perbuatan yang tidak baik itu, walaupun dengan cara yang berbeza dari taklik yang dilafazkan itu.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 77

message user image