Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan mufti. Berikut ialah soalan2 yang ingin saya ketahui jawapannya:
1) Apakah hukum menonton drama/filem/rancangan nyanyian di televisyen yang ada wanita2 yang tidak menutup aurat dengan sempurna seperti tidak memakai tudung?
2) Apakah hukum melihat guru wanita yang tidak bertudung ketika mereka sedang mengajar?
3) Apakah hukum wanita melakukan tarian tradisional di sekolah?
Itu sahaja tuan mufti. Terima kasih, mohon berikan penjelasan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan,
1- Hukum melihat aurat ajnabi sama ada bagi lelaki dan wanita, muslim atau kafir adalah haram dengan ijma’ para ulama'. Hadis yang diriwayatkan daripada Buraidah RA bahawa Nabi SAW telah bersabda kepada Ali RA;
Maksudnya: Wahai Ali jangan kamu ikuti pandangan pertamamu dengan pandangan kedua dan selanjutnya. Milik kamu adalah pandangan yang pertama, tapi tidak yang kedua. (Riwayat Abu Daud)
Oleh itu, melihat aurat wanita ajnabiah adalah berdosa. Oleh itu hendaklah dijauhi. Adalah dinasihatkan supaya mengelakkan daripada menonton filem/drama yang berunsur maksiat, melalaikan dan tidak memberi manfaat. Tuan perlulah menapis program mana yang sesuai untuk diri dan keluarga. Kini, telah wujud siaran-siaran berunsur ilmiah dan Islamik seperti TV al-Hijrah dan sebagainya yang boleh kita pilih untuk ditonton.
2- Seandainya terdapat hajat atau dharurah kerana belajar untuk mendapatkan ilmu maka kaedah Fiqah menyatakan:
Maksudnya: Dharurah itu ditetapkan kadarnya (dihadkan batas sempadan) mengikut keperluannya.
Ini bermakna tuan perlu berusaha sedaya mungkin untuk tidak melihat aurat guru. Seandainya perkara tersebut tidak dapat dielakkan maka lakukanlah dengan kadar yang minima.
3- Aktiviti tarian oleh wanita tidak boleh bercampur dengan lelaki. Tuan boleh merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan melalui link https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/26/garis-panduan-hiburan-dalam-islam/