BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Saya nk tnya soalan berkait hutang.Ade si fulan ni telah bersetuju untuk membayar sejumlah wang yg ditukar dgn barang.Tetapi setelah dia membayar deposit dia tidak lagi mahu membayar baki dari hutang tersebut kerana tidak berpuas hati dengan kondisi barang tersebut.Bagaimana hukumnya ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan situasi yang diterangkan, 

Hutang yang telah dipersetujui menjadi tanggungan yang wajib dilunaskan oleh pembeli. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 1:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Dalam kes ini, secara umumnya, si fulan telah bersetuju untuk membeli barang tersebut dan telah membayar sejumlah deposit. Oleh itu, baki hutang yang masih tertunggak tetap menjadi kewajiban si pembeli untuk diselesaikan.

Jika pembeli mendapati barang tersebut tidak menepati apa yang dijanjikan (contoh: rosak, tidak memenuhi spesifikasi), pembeli boleh membuat pilihan berdasarkan kesesuaian iaitu:

  • Mengembalikan barang tersebut dan meminta wang deposit dikembalikan (sekiranya ada perjanjian pulangan).
  • Meminta pengurangan harga sekiranya barang masih boleh digunakan tetapi kondisinya kurang memuaskan.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْبَيِّعَانِ بِالْخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا، فَإِنْ صَدَقَا وَبَيَّنَا بُورِكَ لَهُمَا فِي بَيْعِهِمَا، وَإِنْ كَتَمَا وَكَذَبَا مُحِقَتْ بَرَكَةُ بَيْعِهِمَا

Maksudnya: Penjual dan pembeli mempunyai hak memilih (untuk meneruskan atau membatalkan jual beli) selagi mereka belum berpisah (menyempurnakan jual beli). Jika mereka jujur dan berterus terang, keberkatan akan diberikan kepada jual beli mereka. Tetapi jika mereka berbohong dan menyembunyikan (kecacatan), keberkatan akan dihapuskan. (Riwayat al-Bukhari)

Jalan terbaik dalam situasi ini adalah dengan penyelesaian secara muafakat iaitu pembeli hendaklah menjelaskan secara adil sebab ketidakpuasan hatinya terhadap barang tersebut. Manakala penjual pula perlu memberi penjelasan dan bersikap terbuka untuk menyelesaikan isu ini, sama ada melalui pemulangan deposit, penggantian barang, atau pengurangan harga.

Kesimpulannya, haram hukumnya sekiranya pembeli tidak melunaskan baki bayaran yang dipersetujui pada masa yang sama pembeli tidak memulangkan barang tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 88

message user image