BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

As salam ustaz/ustazah

1. Semasa di dalam ihram, ketika anak saya ingin mengangkat hadas besar saya melarang nya menggunakan syampoo kerana di khuatiri apabila dia mencuci rambut nya, rambutnya akan putus dan gugur (untuk menjaga pantang larang di dalam ihram ketika itu). Saya menyarankan supaya dia menghalakan kepala nya agak lama di bawah pancuran air supaya air merata di bahagian kepala dan rambut tersebut. 

Setelah bertahun tahun berlalu dan ilmu pun semakin di cari, was was mula timbul di hati saya setelah saya belajar bab mandi hadas secara terperinci di mana rambut hendaklah di sela sela dengan jari ketika mandi supaya air merata. Rambut anak saya jenis tebal dan berbuah.  Begitu juga dengan pusat, segala lubang lubang dan cuping telinga hendaklah di gosok gosok supaya air merata. Apakah hukum mandi hadas tersebut jika perkara perkara tersebut tidak di lakukan.

2. Suami saya meletakkan berus lukisan yang saya syak terdapat bulu babi di atas tembok di luar rumah. Saya pernah bertanya kepada kakitangan kedai tentang status berus lukisan tersebut yang menurut mereka tiada kepastian tentang bulu yang terdapat pada berus lukisan tersebut kerana tiada label pada bungkusan dan hanya di nyatakan buatan dari negara China.

Keesokan hari nya dia letak berus lukisan tersebut di bawah tembok pula. Pada tengahari nya hujan telah turun dan membasahi keseluruhan tembok tersebut. Setelah hujan reda dan tembok masih basah ada seekor kucing yang selalu datang makan dan tidur di rumah saya telah baring di atas tembok bersebelahan dengan tempat yang pernah di letak kan berus lukisan sebelum itu.

Selang beberapa jam, kucing tersebut telah masuk kerumah kami dan telah makan dan baring baring di dalam rumah di tingkat atas dan di tingkat bawah. Ketika itu saya yakin tiada perpindahan najis mugholazah berlaku kerana kucing tersebut masuk dalam keadaan kering dan kedudukan nya ketika baring di atas tembok bukan betul betul berada di tempat berus lukisan itu di letak kan sebelum itu.

Selang beberapa hari, kerisauan mula timbul lalu saya sertu lantai yang saya nampak kucing tersebut telah baring dengan menggunakan sabun taharah. Sekarang timbul pula rasa was was andai kucing tersebut ada baring di tempat lain sekitar dalam rumah saya yang saya terlepas pandang. Adakah perlu saya sertu seluruh lantai rumah.

3. Saya pernah bermusafir di luar negara dan kedua dua belah kasut saya telah terkena najis mutawasitah dan saya telah mencuci nya sehingga bersih. Saya telah singgah di sebuah masjid di tanah air untuk berhenti solat. Oleh kerana saya tersilap pintu setelah menggunakan tandas, saya telah melangkah masuk ke kawasan masjid (sekitar tepi tandas) dengan memakai kasut tersebut. Oleh kerana tiada mop dan baldi ketika itu untuk saya membersihkan tempat tersebut maka saya cuma lap kawasan tersebut menggunakan baju panas sahaja. Selang beberapa hari saya ada menghubungi pihak masjid dan menurut beliau kawasan tersebut akan di cuci setiap hari.

Sekarang timbul pula perasaan was was andai pencuci yang saya gunakan untuk mencuci kasut saya adalah tidak halal. Keraguan mula timbul kerana sabun yang di bawa dari rumah pada plastik pembungkusnya ada di nyatakan 'none of our products contain pork fat'. Tiba tiba saya menjadi was was akan status sabun tersebut. Saya juga was was tentang cecair mandian yang di sediakan di hotel di mana hotel tersebut bukan di dalam negara. Saya lupa saya menggunakan pencuci yang mana satu ketika membersihkan kasut saya. Ketika kejadian tiada pula rasa was was. Adakah saya perlu memberitahu pihak masjid untuk sertu tempat tersebut kerana saya risau akan keadaan ini.

4 Suami saya ada membersihkan lantai yang basah di kawasan dapur menggunakan kain yang telah di gunakan untuk lap koleksi radio terpakai yang di beli nya dari berbagai bagai bangsa. Saya juga  was was andai kain tersebut pernah terkena berus lukisan yang saya andai adanya bulu babi. Saya merasa was was andai ada perpindahan najis mugholazah pada kain tersebut dan telah berpindah ke lantai dapur tersebut. Suami meyakinkan saya najis mugholazah hanya ada jika ianya nyata ada, bukan sekadar andaian. Saya rasa tenang tetapi ada kala nya perasaan was was tetap datang. Perlukah saya abaikan perasaan was was saya.

5. (I) Saya ada membersihkan kerusi kerusi plastik di masjid di kawasan perumahan saya kerana saya tidak yakin dengan tisu basah yang saya gunakan (tiada logo halal) untuk membersihkan kekotoran pada kerusi kerusi tersebut sebelum itu. Saya yakin akan kebersihan kerusi tersebut selepas membersihkan nya pada ketika itu.

   (ii) Saya juga ada membersihkan pemegang pintu masjid kerana saya tidak yakin dengan losyen tangan yang saya guna kerana mengandungi alkohol. Saya yakin akan kebersihan pemegang pintu tersebut selepas membersihkan nya pada ketika itu (selepas itu saya merujuk kepada ustaz tentang perkara ini dan menurut ustaz alkohol pada losyen tidak di kira najis tetapi ada khilaf untuk di bawa di dalam solat)

Selang beberapa bulan timbul kerisauan yang lain pula kerana saya dapati pencuci yang di gunakan untuk mencuci kerusi kerusi tersebut tiada logo halal dan tuala lap yang saya gunakan untuk lap kerusi dan pemegang pintu masjid telah di cuci dengan pencuci pakaian yang tiada logo halal. Saya cuba abaikan perasaan was was tersebut kerana setiap benda yang tiada logo halal otomatik saya rasa was was akan kesucian nya dan di khuatiri akan timbul pula perasaan was was yang lain. Betulkah tindakan saya ini. Timbul juga rasa malu kerana bertindak seperti tidak normal.

Saya baru dan sedang menghadapi penyakit was was yang kronik sehingga saya menangis, ketakutan, kecewa, membuang semua benda benda dan pakaian yang saya rasa ada terkena najis mugholazah dan saya sertu semua benda dan tempat yang saya andaikan terkena najis mugholazah berkali kali sehingga kepenatan kerana tidak yakin akan sah nya proses sertu tersebut. 

Saya cuba tidak melayan semua perasaan was was yang sedang saya hadapi kerana ada masanya was was yang datang tidak masuk akal. Saya dalam proses rawatan dan pemulihan. Saya juga ada ciri ciri penyakit OCD (Obsessive Compulsive Disorder). Saya pohon pencerahan dari ustaz/ustazah supaya saya tenang dan dapat membantu saya untuk segera pulih.

Terima kasih

Wasalam.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan;

1) Dalam Islam, mandi wajib (atau mandi junub) bertujuan untuk menyucikan diri dari hadas besar. Salah satu rukun mandi wajib adalah memastikan air mengenai keseluruhan tubuh, termasuk kulit dan rambut. Menyela helaian rambut semasa mandi wajib juga dianggap penting untuk memastikan air sampai ke kulit kepala, terutama jika rambut tebal atau kusut. Oleh itu, jika seseorang tidak menyela helaian rambut tetapi dapat memastikan air sampai ke kulit kepala dan rambut basah sepenuhnya, maka mandinya sah. Ini kerana rukun mandi wajib telah dipenuhi, iaitu air mesti mengenai seluruh badan tanpa mengira cara ia dilakukan. Namun perkara tersebut telah pun berlaku beberapa tahun yang lalu, maka tidak timbul lagi permasalahan sama ada mandi wajib tersebut sah atau tidak. Beristighfar kepada Allah SWT dan bermunajat agar perkara tersebut diterima oleh Allah SWT.

2)  Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan. 

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was berkaitan berus cat tersebut diperbuat daripada babi, maka berus cat tersebut adalah kekal bersih dan suci. Sehubungan itu ia tidak menajiskan tembok rumah, kucing dan kawasan-kawasan yang lain. Tidak berlaku juga perpindahan najis disebabkan kucing tersebut.

3) Kasut tersebut adalah kekal bersih dan suci selagi mana tidak dapat dipastikan ianya terkena najis. Tidak perlu meminta pihak masjid agar membuat proses sertu kerana tidak dapat dipastikan terdapatnya najis mughallazah pada sabun dan juga bahan pencuci tersebut. Malahan telah tertera pada kandungan sabun tersebut 'none of our products contain pork fat' yang membawa maksud "tiada satu pun daripada produk kami mengandungi lemak babi." Sehubungan itu tidak timbul isu najis mughallazah dalam perkara ini dan tidak perlu juga kepada proses sertu.

4) Kain lap tersebut adalah bersih dan suci untuk digunakan kerana tidak terdapat padanya najis mughallaza. Justeru itu, kain lap tersebut tidak menyebabkan lantai tersebut turut bernajis.

5) I) Tisu basah yang tiada logo halal tidak secara automatik dianggap najis. Selagi tidak ada bukti jelas tentang keharaman bahan dalam tisu tersebut, penggunaannya adalah dibolehkan. Oleh itu kerusi tersebut adalah kekal bersih dan suci. Jika ragu, pilih tisu basah dengan logo halal atau periksa bahan-bahan di dalamnya untuk memastikan ia tidak mengandungi unsur yang haram atau najis. 

    II) Penggunaan losyen tangan yang mengandungi alkohol tidak semestinya menjadikan ia najis atau tidak boleh dibawa untuk solat. Kebanyakan alkohol yang digunakan dalam produk kosmetik dan penjagaan diri, seperti losyen, adalah alkohol sintetik atau alkohol industri (seperti etanol atau isopropil alkohol) yang tidak berasal daripada khamr (arak). Oleh itu, pemakaian losyen tangan tidak menjadikan tangan bernajis dan menajiskan yang lain. 

Adalah dipohon kepada puan agar hindarkan diri daripada berperasaan was-was dan ragu-ragu dengan;

1) Memperbanyakkan istighfar kepada Allah SWT.

2) Memahami bawah perasaan was-was adalah gangguan yang boleh diatasi dengan ilmu, disiplin, dan doa.

3) Fokus kepada prinsip Islam yang mudah dan mengutamakan ketenangan hati.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 54

message user image