Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
saya ingin bertanya mengenai hubungan suami isteri:
1) Apakah hukum sekiranya isteri keluar rumah tanpa izin/maklum kepada suami?
Huraian: Isteri bukan tidak mahu memberi tahu ataupun maklum kepada suami tapi suami seolah-olah tidak peduli kemana isteri pergi,isteri buat apa. Sedangkan si suami sendiri tidak memaklum kan ataupun berbincang dengan isteri. Susah untuk berbincang kerana pengakhiran tiada jawapan tapi hanyalah pertengkaran.
2) Apakah patut si isteri buat sekiranya dia sudah tidak berasa hormat kepada suaminya?
Huraian : Kerana si suami pun tidak hormat si isteri sebagai contoh percakapan selalunya tidak elok. ada sahaja yang menyakitkan hati dan disebab kan lama-lama si isteri berasa tawar hati namun hilang rasa hormat kepada suami.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tersebut;
1. Isteri yang keluar rumah tanpa izin suaminya adalah haram dan berdosa. Lebih-lebih lagi keluar dalam keadaan tidak menutup aurat dan bukan atas keperluan seperti bekerja, menghantar/mengambil anak, mendapatkan rawatan kesihatan, mencari keperluan diri/ keluarga dan seumpamanya.
Jika dalam rumah tangga suami dan isteri sudah saling tidak mengambil berat antara satu sama lain, jelaslah rumahtangganya terabai. Namun, sekiranya isteri ada keperluan untuk keluar rumah atau pergi ke sesuatu tempat, maklumkan sahaja kepada suami agar dia tahu dan sebagai tanda peduli seorang isteri untuk memaklumkan kepada suami di mana keberadaannya.
2. Jika dalam rumahtangga sudah hilang rasa kasih sayang, tiada ketenangan dan sentiasa bertengkar sesama suami isteri sebaiknya perkara ini dikemukakan terus ke Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal untuk mendapatkan khidmat nasihat kekeluargaan atau jalan penyelesaian yang baik bagi kedua-dua pihak.
Sekian, terima kasih.