BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Apakah hukum menjual kucing peliharaan? Dan bagaimna jika hasil jualan kucing tersebut digunakan untuk membeli kambing dan disembelih untuk disedekahkan/korban?


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, ulama berbeza pendapat mengenai hukum menjual kucing. Pendapat pertama menyatakan haram berdasarkan hadis riwayat Jabir bin Abdullah RA:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang makan duit hasil penjualan anjing dan kucing. (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa Nabi SAW melarang sumber duit dari hasil penjualan kucing dan berpandangan larangan menjual kucing di dalam hadis ini adalah merujuk kepada kucing liar, kerana kucing liar tidak bermanfaat sama ada memberikan hiburan kepada manusia atau lain-lain manfaat.

Adapun, pendapat kedua pula merupakan pandangan jumhur ulama termasuk Mazhab Shafi'i yang membenarkan jual beli kucing jika kucing itu memiliki manfaat seperti menangkap tikus atau sebagai binatang peliharaan. Imam al-Nawawi menyatakan di dalam kitab al-Majmu’ bahawa menjual kucing jinak adalah harus dan pandangan ini tiada khilaf dalam kalangan Syafi’iyyah. Perbezaan pendapat ini berlaku kerana pada awal Islam kucing dianggap najis dan diharamkan jual beli, kemudian setelah sabit daripada Rasulullah SAW bahawa kucing itu suci, maka ia pun dibenarkan.

Justeru, harus hukumnya seseorang menjual beli kucing dan hasil jualan tersebut boleh digunakan untuk membeli kambing bagi disedekahkan atau korban.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 85

message user image