Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
APAKAH HUKUM KERJA SEBAGAI BOUNCER/SECURITY KELAB MALAM,SAYA TERPAKSA BUAT DUA KERJA UNTUK MENCARI DUIT LEBIH,DAN KERJA TU SAJA YG ADA BASIC,KERJA 6 JAM DAN ADA MASA UNTUK SAYA TIDUR TIDAK KACAU KERJA HALAL SAYA
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, hukum asal sesuatu pekerjaan itu adalah harus. Keharusan itu berdasarkan aktiviti perniagaan. Jika aktiviti perniagaan itu harus, maka hukum bekerja di syarikat itu harus. Jika aktiviti perniagaan itu haram, maka hukum bekerja di situ haram.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara kedua-duanya terdapat perkara yang mushtabahat (tidak jelas status halam dan haram) yang tidak diketahui oleh kebanyakkan manusia. sesiapa yang menjaga perkara yang mushtabahat itu maka ia telah menjaga kesucian kehormatan dan agamanya. Sesiapa yang terjerumus ke dalam syubhah adalah seperti pengembala yang berada di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjatuh ke dalamnya. Ketahuilah setiap raja mempunyai kawasan larangannya. Maka larangan Allah di atas muka bumi ini adalah perkara yang diharamkannya. Ketahuilah di dalam badan manusia ada seketul daging apabila baik ia maka baik keseluruhannya, tetapi apabila binasa maka binasalah keseluruhannya, ia adalah jantung (hati).(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bekerja di kelab malam bukanlah pilihan yang baik kerana tempat tersebut sering dikaitkan dengan maksiat seperti percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, aktiviti berkaitan arak, pendedahan aurat serta hiburan yang mendorong kepada kelalaian dan perbuatan dosa. Walaupun tugas yang dilakukan hanyalah sebagai bouncer atau pengawal keselamatan, pekerjaan tersebut tetap tergolong dalam kategori yang mendatangkan dosa kerana ia melibatkan kerjasama dan sokongan terhadap perkara yang bertentangan dengan syariat.
Sehubungan itu, wajib bagi seseorang Islam mencari pekerjaan daripada sumber yang halal. Carilah pendapatan sampingan yang tidak melibatkan perkara-perkara haram, tinggalkan perkara yang haram dan bermunajatlah memohon kepada Allah SWT agar dibukakan pintu rezeki dari sumber yang halal
Sekian, terima kasih