Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamulaikum, adakah perbezaan pahala jika beribadah di masjid berbanding surau diri jumaat dan berbanding surau? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, beribadah di masjid memiliki kelebihan yang tersendiri berbanding beribadat di surau termasuk surau Jumaat. Antara kelebihan beribadah di masjid adalah sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW daripada Abu Hurairah RA:
Maksudnya: "Sesiapa yang pergi dan balik dari masjid, maka Allah akan menyediakan baginya tempat di syurga setiap kali dia pergi dan balik.” (Riwayat Muslim)
Selain itu, seseorang yang hadir beribadah di masjid dan memakmurkannya termasuk dalam kalangan orang yang mendapat petunjuk ilahi. Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-Taubah : 18)
Terdapat ibadah yang hanya boleh dilakukan di masjid seperti Ibadah iktikaf dan solat sunat Tahiyyatul Masjid. Firman Allah S.W.T;
Maksudnya: "Dan janganlah kalian bermesra-mesraan dengan isteri-isteri kalian dalam keadaan kalian sedang beriktikaf di dalam masjid." Surah al Baqarah (187)
Manakala surau merupakan tempat yang dikhususkan untuk ibadah yang tetap diberkati selama mana ia digunakan untuk tujuan ibadah. Namun surau termasuk surau Jumaat tidak dapat menandingi kemuliaan dan kelebihan masjid.