BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ada persoalan dengan solat jamak sahaja. Untuk makluman, saya merupakan seorang OKU yang sudah berkahwin. Saya tidak boleh berjalan dan lemah anggota badan. Saya menggunakan kerusi roda bermotor sahaja untuk kemana-mana. Saya sering kemana-mana bersama suami saya. 
 

Situasi 1:

Keadaan ini apabila saya bermusafir berdua bersama suami. Katakan kami bercadang untuk bertolak selepas waktu Zohor atau Maghrib, adakah dibenarkan untuk saya solat Jamak Takdim di rumah kerana keadaan saya agak susah untuk berhenti solat ketika dalam perjalanan? Maksud susah itu, saya adalah OKU, jadi memerlukan suami membantu mengambil wuduk, tetapi lelaki tidak dibenarkan masuk ke ruangan solat wanita, manakala saya pula tidak boleh mengambil wuduk di ruangan lelaki.

 

Situasi 2:

Saya dan suami keluar makan bersama. Saya sudah tahu perjalanan akan memakan masa kerana keadaan trafik yang tinggi. Waktu perjalanan itu juga telah pun bertukar waktu solat. Contohnya keluar rumah dalam pukul 6 petang, kemudian masuk waktu solat Maghrib pukul 7. Seperti situasi di atas, saya agak susah untuk ambil wuduk di ruangan wanita kerana suami saya yang membantu untuk mengambil wuduk. Adakah dibolehkan saya untuk Jamak Takhir di waktu Isyak nanti atau dibolehkan untuk solat menghormati waktu sahaja (tanpa mengambil wuduk) kemudian saya qada semula solat apabila sudah sampai di rumah? 

Mohon pencerahan bagi persoalan saya. Saya lebih selesa untuk solat di rumah atau tempat penginapan kerana lebih mudah untuk saya mengambil wuduk tanpa suami saya perlu menyentuh saya. Kebiasaannya dia akan membantu dari segi menggerakkan anggota badan yang perlu disucikan dengan berlapik. 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya tidak dharuskan melaksanakan solat fardu secara jamak dalam keadaan tidak bermusafir (tinggal di rumah) dan hukumnya tidak sah. Walau bagaimanapun, adalah diberi rukhsah atau kemudahan kepada pesakit yang menanggung masyaqqah atau kesukaran menunaikan solat fardu pada setiap waktunya untuk menunaikannya secara jamak tanpa qasar. Ini berdasarkan kepada pandangan mazhab Maliki, mazhab Hambali serta sebahagian ulamak mazhab Syafi'i. Berdasarkan buku Panduan Bersuci dan Bersolat Bagi Pesakit yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pesakit yang mengalami kesakitan serta kesulitan untuk menunaikan solat pada waktunya diharuskan untuk menunaikan solat fardu secara jamak antara solat fardu Zohor dan fardu Asar atau solat fardu Maghrib dan fardu Isya' secara jamak taqdim atau jamak ta'khir.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 56

message user image