Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asalamualaikum, saya mahu bertanya tentang solat jamak qasar bagi seseorang yang bermusafir . Sekiranya saya memulakan perjalanan pada khamis malam untuk ke kuala lumpur dan saya berhenti untuk tidur di rumah mertua saya berjarak 80km dari rumah saya. Dan saja bercadang untuk meneruskan perjalanan ke kuala lumpur pada pagi jumaat selepas subuh . soalan saya adakah saya dikira sebagai musafir ketika berada dirumah mertua saya dan adakah saya dikehendaki untuk solat jumaat disebabkan saya meneruskan perjalanan selepas subuh pagi jumaat ?
Jawapan
Solat jamak dan qasar adalah rukhsah yang boleh dilakukan jika seorang itu bermusafir ke destinasi yang melebihi 2 marhalah (81 kilometer) dari tempat asalnya. Jika mempunyai tempat persinggahan, maka ia tidak boleh melebihi 3 hari di tempat persinggahan itu tidak termasuk hari pergi dan hari keluar kerana hal itu menjadikannya sebagai satu musafir yang lain, bukan tujuan musafir asal.
Imam An-Nawawi mengatakan;
Maksudnya: “Jika dia berniat, sebelum berangkat keluar kepada permusafiran yang jauh, untuk tinggal selama empat hari pada setiap satu marhalah (41 kilometer lebih kurang), dia tidak boleh qasar solat, kerana setiap satu perjalanan terputus dengan satu perjalanan yang lain.” (Mughni al-Muhtaj 1/523)
Waktu maksimum untuk jamak dan qasar solat iaitu 3 hari tidak termasuk hari pergi dan hari keluar, jika tidak melebihi tempoh tersebut maka ia tetap dalam musafir yang sama dan dibolehkan untuk solat jamak dan qasar di tempat persinggahan itu walaupun belum lagi mencapai 2 marhalah.
Merujuk kepada persoalan tuan, tuan boleh melakukan solat jamak dan qasar di tempat persinggahan yang berada di luar qaryah rumah tuan (dalam situasi ini- rumah mertua tuan). Maka, rukhsah juga pada tuan untuk tidak melakukan solat Jumaat walaupun bergerak selepas Subuh Jumaat kerana ianya adalah tempat persinggahan ketika bermusafir, bukanlah dari tempat asal tuan bergerak.
Sekian, terima kasih.