BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya baru berkahwin dengan pasangan saya duda anak 4 (semua anak perempuan , umur 24,22,19&14 tahun) selepas 7 bulan berkahwin, suami alami stok lemah sebelah badan dan hilang ingatan. Pendapatan suami berkurang setelah strok, malah saya terpaksa menambah duit sendiri untuk selesaikan hutang piutang suami. Soalan saya adakah saya perlu memberi nafkah kepada anak-anak tiri saya dan jika saya tidak mampu perlukah saya menjual harta suami bagi memenuhi nafkah anak- anak tiri tersebut, sedangkan saya juga tidak mendapat nafkah lagi? Harta yang dimaksudkan adalah kereta, dimana kereta tersebut dihadiahkan kepada saya dan belum habis bayar. Pendapatan suami sekarang hanya cukup untuk membayar kereta tersebut tanpa ada baki malah lebihnya saya perlu tambah bayarannya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Dalam menjawab pertanyaan puan, nafkah terhadap anak-anak tiri puan adalah menjadi kewajipan ayah kandung mereka menyediakan nafkah sehingga anak-anak tersebut dewasa dan boleh berdikari. Dan sekiranya ayah kandung tersebut tidak mampu menyediakan nafkah maka tanggungjawab nafkah terletak kepada datuk dari keturunan bapanya. Adapun sebagai ibu tiri dan atas rasa tanggungjawab, puan juga masih perlu mengambil berat serta sedikit sebanyak berusaha membantu dalam urusan harian anak-anak tersebut. Di atas rasa kemanusiaan bantulah suami puan dalam membesar dan mendidik anak-anak tersebut apatah lagi dalam keadaan suami puan yang diuji dengan masalah kesihatan.

Tidak menjadi kesalahan dari sudut hukum, sekiranya puan ingin menjual kereta yang suami puan hadiahkan itu, kerana ia telah menjadi hak puan atas dasar hibah atau hadiah dari suami puan, apa yang penting ia mampu mengurangkan beban puan dan suami dalam menyediakan nafkah untuk keluarga dan anak-anak.

Apa yang sangat penting adalah konsep saling berbincang dan berkomunikasi antara suami isteri dan anak-anak, agar sebarang keputusan yang diambil telah mendapat pandangan semua pihak dan semoga yang demikian akan mewujudkan persefahaman antara satu sama lain. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 55

message user image