Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Nama saya Sha, nak tanya tentang hukum kerja sebagai pelayan di restoran yang ada menjual halal dan haram. Masa saya interview, tidak diberitahu bahawa disana ada menjual daging haram. Dan saya menerima tawaran tersebut dan meminta mereka untuk menunggu saya berhenti tempat lama. Sekarang saya sudah berhenti tempat lama dan sepatutnya sekarang saya kerja di restoran tersebut. Tapi sebelum itu, saya mengetahui mereka ada menjalankan jual menu non halal. Saya buntu apa yang saya mesti buat sekarang ini. Saya sudah cari kerja yang lain ( halal ) tapi masih belum ada maklum balas. Sekarang ini saya tersepit dengan hutang kereta dan sebagainya. Saya perlu kerja untuk bayar semua komitmen saya. Apakah yang saya perlu lakukan sekarang ini dan apa hukum untuk saya. Mohon penjelasan .Terima kasih!
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, pekerjaan yang melibatkan khidmat kepada perbuatan haram sama ada secara langsung atau tidak langsung adalah haram termasuklah penyediaan makanan yang haram atau bekerja di tempat yang menjalankan perniagaan yang haram di sisi syarak.
Disarankan berusaha mencari alternatif lain iaitu pekerjaan lain yang lebih terjamin halal, di samping memanfaatkan bantuan masyarakat seperti institusi zakat atau badan kebajikan untuk menangani hutang dan keperluan asas bagi sementara waktu. Dipertimbangkan untuk kemukakan permohonan kepada Tabung Baitulmal Sarawak yang memberi bantuan kepada asnaf Al-Gharimin disebabkan keperluan mendesak untuk kemaslahatan diri atau kemaslahatan ummah yang tidak berlebih-lebihan dan bukan kerana maksiat.
Sekian, terima kasih.