Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya mempunyai satu kemusykilan. Saya telah menjumpai satu syarikat bernama Direct Lending Sdn Bhd yang menyediakan Pelan Ansuran Servis Kereta. Untuk servis tersebut, terdapat kadar keuntungan sebanyak 1.5% sebulan dan tiada apa-apa caj pemprosesan yang akan dikenakan untuk pembiayaan ini.
Boleh saya tahu adakah servis bersama kadar keuntungan ini dibenarkan dalam Islam, sekiranya saya amat memerlukan jumlah wang yang banyak untuk melakukan servis kepada kereta saya?
Harap dapat membantu saya untuk kemusykilan ini. Terima kasih. Assalamualaikum.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, Direct Lending Sdn. Bhd. ialah sebuah syarikat pinjaman wang berlesen yang menawarkan pelbagai produk pembiayaan, termasuk Pelan Ansuran Servis Kereta. Walau bagaimanapun, status patuh Syariah bagi mana-mana perkhidmatan kewangan tidak ditentukan semata-mata berdasarkan kadar keuntungan (faedah atau interest). Sebaliknya, ia bergantung kepada akad yang digunakan serta sejauh mana proses tersebut dilaksanakan mengikut prinsip-prinsip Syariah.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275:
Maksudnya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
Sekiranya sesuatu iklan memaparkan kenyataan ‘patuh Syariah’, panel syariah yang dirujuk mestilah terdiri daripada individu atau institusi yang diiktiraf, bukannya sekadar gimik untuk menarik perhatian pengguna Islam. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak yang ingin melanggan perkhidmatan syarikat tersebut untuk memastikan status patuh Syariahnya terlebih dahulu. Jika modus operandi syarikat itu bersifat konvensional dan tidak menepati prinsip Islam, maka adalah haram untuk melanggannya.
Sekian, terima kasih.