Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya tentang hukum menjual produk yang menggunakan mekanisma orang lain seperti Popsockets. Ia menggunakan mekanisma collapsible silicone untuk dijadikan phone grip.
Saya lihat ramai peniaga dan syarikat yang menghasilkan product phone grip ini menggunakan mekanisma yang sama tetapi design bahagian atas phone grip itu berlainan mengikut kreativiti masing-masing. Produk ini dijual secara meluas dan mudah didapati.
Persoalan saya, adakah perkara ini dibolehkan dan adakah hasil jualan phone grip ini boleh dikira sebagai pendapatan yang halal kerana menggunakan mekanisma produk orang lain?
Jawapan
Berdasarkan keterangan yang diberikan, Popsockets atau produk seumpmanya mungkin dilindungi oleh hak paten atau hak cipta terpelihara yang meliputi mekanisme lipatannya. Dalam hal ini, penggunaan mekanisme yang sama tanpa izin atau lesen dari pemegang paten adalah satu bentuk pelanggaran hak cipta atau paten.
Jika produk yang dijual ini menggunakan mekanisme yang dilindungi paten atau hak cipta tanpa kebenaran, ia boleh dianggap sebagai satu bentuk pelanggaran yang tidak dibenarkan dalam syarak, kerana hak cipta itu perlu dihormati sama seperti hak milik individu. Oleh itu, mengambil harta atau hak orang lain tanpa izin adalah haram. Jadi, jika produk tersebut dilindungi hak cipta dan digunakan tanpa izin, jualan tersebut boleh dianggap tidak halal.
Namun, jika peniaga lain hanya meniru mekanisme tanpa melanggar hak paten dan hanya mengubah bahagian reka bentuk atas seperti bahagian atas phone grip, maka ini lebih kepada aspek kreativiti dalam menghasilkan variasi produk dan sekiranya mekanisme asas collapsible silicone ini tidak lagi dilindungi oleh paten atau tidak melibatkan pelanggaran hak cipta, dan anda pula menambah nilai melalui reka bentuk bahagian atas, maka menjual produk ini boleh dianggap halal.
Adalah dicadangkan menyemak semula status paten dan hak milik yang ingin dicontohi itu bagi mengelakkan isu pelanggaran hak cipta sekaligus mengelakkan diri dari mengambil harta atau hak orang lain tanpa izin.
Sekian, terima kasih.