Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya nak berkenalan dengan seorang perempuan..Jadi saya ajak dia untuk bertaaruf tetapi dia kata sudah berpunya..tapi saya kena tuduhan mengatakan saya membuat gangguan seksual..adakah betul mengajak taaruf itu gangguan seksual?
Jawapan
Taaruf merupakan salah satu kaedah yang digunakan dan dibenarkan dalam Islam untuk mengenali seseorang yang akan dijadikan pasangan dalam perkahwinan. Oleh itu, mengajak seseorang untuk bertaaruf dengan cara yang sopan dan menepati syariat tidaklah dianggap sebagai gangguan seksual. Namun jika wanita tersebut menolak dan memaklumkan bahawa beliau telah mempunyai pasangan, adalah sebaiknya kita tidak meneruskan perbuatan tersebut kerana Nabi SAW melarang seseorang melamar tunangan orang lain. Banyak kaedah lain boleh digunakan sebelum memulakan taaruf seperti meminta bantuan orang lain yang mengenali wanita tersebut untuk memastikan wanita tersebut masih belum mempunyai pasangan atau sebaliknya.
Sekian. Terima kasih.