Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pengantin perempuan jika wali perkahwinannya sudah meninggal dunia dan beliau ( arwah bapa) adalah seorang anak angkat yang ber'bin'kan bapa angkat tetapi status keluarga kandungnya tidak diketahui?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, keberadaan wali adalah wajib semasa akad nikah dan ia merupakan salah satu daripada rukun akad nikah. Perkahwinan seorang perempuan sama ada dewasa atau masih kecil, janda ataupun dara, hendaklah diakadkan oleh walinya. Bilamana wali nasab tiada, maka hak perwalian akan jatuh kepada Kadhi-Kadhi atau Pendaftar-Pendaftar Nikah kerana mereka dilantik untuk melaksanakan kepentingan orang Islam.
Sehubungan itu, adalah disarankan untuk merujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah dan Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat bermustautin bagi mendapatkan maklumat lanjut prosedur yang perlu dilakukan.