Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamua'alaikum ustaz/ustazah,
Sememangnya isteri perlu meminta izin daripada sebelum keluar rumah atau akan berdosa jika sebaliknya. Boleh saya tahu mengapa suami tidak perlu meminta izin, mahupun sekadar memberitahu isteri jika mahu keluar rumah? Mungkin ada kisah para nabi/sahabat yang boleh saya jadikan panduan. Mohon pencerahan dari pihak tuan kerana persoalan ini selalu membuat saya mempertikaikan hukum-Nya. Semoga saya tidak termasuk dalam golongan yang tidak redha.
Terima kasih atas penjelasan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, kewajipan isteri meminta izin daripada suami merupakan suatu ketetapan daripada syarak. Setiap perkara yang Allah SWT aturkan baik bagi lelaki dan perempuan semuanya adalah untuk kebaikan kepada umat manusia. Sudah tentu ia mengandungi hikmahnya tersendiri dan penjelasannya ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Berkenaan meminta izin, isteri lebih dititikberatkan berbanding suami. Suami tidak wajib meminta izin tetapi suami tetap bertanggungjawab memaklumkan pada isteri demi menjaga perasaan isterinya. Peranan seorang lelaki khususnya suami itu sangat besar dan berat, suami akan dipersoalkan di akhirat kelak akan banyak perkara seperti kewajipan untuk menjaga isteri, ahli keluarga, rumahtangganya dan juga tanggungjawab seorang lelaki kepada masyarakatnya. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 34:
Maksudnya : Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan.
Manakala isteri pula akan dipersoalkan di akhirat berkenaan tanggungjawabnya yang diwajibkan ke atasnya. Setiap orang baik lelaki atau perempuan mempunyai tanggungjawab masing-masing sesuai dengan fitrah mereka.
Puan boleh dapatkan kisah-kisah dalam rumahtangga Nabi SAW tentang komunikasi, layanan dan kasih sayang baginda bersama isterinya adalah yang terbaik yang boleh dijadikan panduan kepada kita semua. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;
Maksudnya: Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya. (Riwayat al-Tirmizi)
Terdapat juga kisah sahabat Nabi SAW iaitu Saidina Umar RA yang sentiasa menjaga komunikasi yang baik dengan isterinya. Walaupun tiada kewajipan untuk meminta izin, beliau tetap memberitahu isterinya mengenai urusan penting. Ini menunjukkan amalan komunikasi suami isteri yang baik dan sentiasa berkasih sayang dalam rumahtangga.
Justeru, isteri berkewajipan untuk patuh dan taat kepada suami sehinggakan Nabi SAW bersabda;
Maksudnya: “Jika aku boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.” (Riwayat al-Tirmizi)
Sekian, terima kasih.