Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya nak bertanya. Saya dan suami ada bergaduh dan suami telah keluar dari rumah dan pulang ke rumah ibunya dan tidak bekerja. Suami tidak pulang ke rumah kami. Kami sudah tidak sebumbung sebulan lebih. Nafkah saya dan anak-anak-anak suami tidak bagi. Anak-anak berada di kampung saya kerana kos sara hidup sangat tinggi jika tinggal disini bersama saya. Persoalan saya, boleh tak saya nak balik kampung saya atas urusan anak-anak, seperti melawat anak-anak dan kekadang membawa barang-barang keperluan mereka. Saya tetap whatsapp memberitahu suami saya jika saya hendak pulang ke kampung walaupun suami saya tidak pulang dan masih di berada di kampungnya. Jika suami tidak membenarkan saya pulang ke kampung saya, bolehkah saya tetap juga pulang ke kampung saya?. Anak-anak masih memerlukan perhatian saya sebagai ibunya. Suami tak cara soal nafkah saya dan anak-anak dan tidak bertanya khabar anak. Buat masa sekarang, kehidupan saya tak ubah seperti ibu tunggal walaupun status saya masih isteri orang. Terima kasih.
Jawapan
Sebagai seorang isteri, mereka wajib mentaati suaminya dalam segala perkara yang makruf yakni yang tidak bertentangan dengan syara. Namun begitu, ketaatan ini terbatas sekiranya arahan suami bertentangan dengan syara atau maslahah isteri dan anak-anaknya, seperti isteri dalam keadaan sakit atau darurat dan suami tidak membawa ke hospital atau tidak mendapatkan rawatan untuk isteri tersebut atau isteri terpaksa keluar menghantar nafkah untuk anak-anaknya di kampung kerana suami tidak bertanggungjawab dan tidak menyediakan nafkah untuk anak-anaknya . Justeru, dalam kondisi di atas isteri diharuskan keluar rumah meskipun tanpa keizinan suami untuk menyerahkan atau menghantar nafkah untuk anak-anak mereka dan melihat keadaan dan kebajikan anak-anak mereka di kampung.
Sekian, terima kasih.