Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada soalan berkenaan insurans nyawa.
Saya telah didatangi oleh ejen insurans& takaful menawarkan hibah talaful. Jadi disebab kan pada pemahaman saya ianya hibah takaful maka saya ambil keputusan untuk mengambil produk tersebut.
Selepas setahun, saya baru perasan di atas polisi saya ia tertulis "Insurans Nyawa". Jadi saya bertanya pada ejen saya berkenaan perkara ini kerana ada perkataan "insurans" yang setahu saya ianya ada tidak patuh syariah dan konvensional.
Ini jawapan ejen saya:
1. Dia bersetuju ianya memang insurans nyawa
2. Tetapi dana insurans dilabur pada pelaburan patuh syariah.
Soalan saya:
1. Adakah "insurans nyawa" ini jatuhnya patuh syariah sekiranya ianya dilaburkan di dalam pelaburan patuh syariah?
2. Adakah saya patut teruskan dengan produk ini atau beralih ke hibah takaful yang sebenar?
Terima kasih.
Jawapan
Hibah secara umumnya bermaksud hadiah. Dalam konteks hibah takaful, ia merupakan suatu pemberian yang dibuat oleh peserta takaful secara sukarela sebagai hadiah faedah takaful kepada pihak ketiga. Pengendali takaful akan membayar faedah takaful kepada penerima hibah apabila peserta takaful tersebut meninggal dunia. Ia tertakluk kepada terma dan syarat seperti yang termaktub dalam kontrak sijil takaful.
Manakala insurans nyawa merujuk kepada skim caruman kewangan konvensional yang perlu dibayar dalam amaun tertentu oleh peserta insurans yang akan memberi manfaat kewangan kepada penama yang ditinggalkan apabila peserta insurans tersebut meninggal dunia.
Perbezaan antara polisi patuh syariah dan kovensional bukan sahaja pada tempat di mana dana dilaburkan tetapi juga merujuk kepada keseluruhan kontrak yang ditandatangani, termasuk kaedah pembahagian, jenis akad yang ditandatangan dalam kontrak dan banyak lagi, ia tidak hanya berlegar dengan isu di mana dana dilaburkan.
Merujuk kepada persoalan, tuan hendaklah memastikan polisi yang diambil adalah patuh Syariah, jika ia merupakan polisi konvensional. Hanya bayaran pokok sahaja yang boleh diterima manakala keuntungan pelaburan yang diterima merupakan wang tidak patuh Syariah yang perlu diserahkan kepada pihak baitulmal. Apabila telah dipastikan ia merupakan polisi insurans, hendaklah menghentikan langganan polisi tersebut dan bertukar kepada skim takaful yang patuh Syariah. Semoga dengan usaha ini dapat memberi keberkatan rezeki tuan.
Sekian,terima kasih.