Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1) Saya belajar di INTEC education college dekat shah alam seksyen 17, tapi kolej kediaman saya di kolej akasia seksyen 18, kebiasaannya saya pulang ke kampung saya, temerloh (melebihi 2 marhalah) naik bas di terminal shah alam seksyen 17 selepas kelas. Bolehkah saya solat jamak dan qasar di terminal tersebut?
Jawapan
Solat musafir mestilah melepasi kawasan mukim berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Anas bin Malik RA, beliau berkata:
Maksudnya: Aku menunaikan solat Zohor bersama-sama Nabi ﷺ di Madinah 4 rakaat dan solat Asar di Zulhulaifah 2 rakaat (qasar)”. (HR Bukhari dan Muslim)
Merujuk kepada soalan yang diajukan, seseorang yang bermusafir diharuskan untuk menunaikan solat secara jamak dan qasar selepas dia keluar dari kawasan tempat dia tinggal, qaryah atau balad berdasarkan kepada uruf setempat. Keluar daripada kawasan taman perumahan boleh dianggap telah keluar daripada qaryah atau tempat tinggal. Oleh itu, sekiranya Terminal Bas Seksyen 17 itu berada di luar kawasan tempat tinggal saudari iaitu di Kolej Akasia Seksyen 18, maka diharuskan untuk melakukan solat secara jamak dan qasar di terminal tersebut.
Sila rujuk keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor: https://i-fiqh.islam.gov.my/img/upload/lampiran/16723_1650428866.pdf
Sekian, terima kasih.