Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada beberapa soalan seperti berikut:
1. Kenapa suami isteri bila ada wudhu, apabila bersentuhan, akan batal? Sedangkan di mekah, turki atau mana-mana negara luar, mereka bersentuhan tetapi tidak akan dianggap batal wudhu'.
2. Kalau dalam solat, rukuk kita baca 3 kali, tetapi nabi tak buat seperti berikut, kenapa perlu kita buat? Bukankah kita perlu ikut apa yang nabi buat sahaja?
3. Untuk zakat. Kita ikut mazhab shafie tetapi kenapa zakat kita bayar dalam bentuk duit, bukannya beras sepertimana mazhab shafie?
4. Untuk bayi yang baru lahir, kenapa perlu melakukan upacara tahnik?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan:
1) Umat Islam di Malaysia dan nusantara amnya mempraktikkan ibadah mereka dengan mengunakan pandangan Mazhab Syafi'i. Dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah menyatakan bahawa sentuhan (kulit) antara lelaki dan wanita ajnabi (boleh berkahwin) secara langsung iaitu tanpa berlapik menurut pandangan Mazhab Syafi’i yang muktamad merupakan antara perkara yang membatalkan wuduk kedua-duanya sama ada sentuhan tersebut berlaku secara sengaja ataupun tidak dan sama ada diiringi dengan syahwat ataupun tidak.
Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 43:
Maksudnya: Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci.
Manakala dalam kitab Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh menyatakan pendapat Mazhab Maliki, pandangan Imam Ahmad yang masyhur dan salah satu pandangan Imam Abu Hanifah bahawa bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita tanpa alas adalah membatalkan wuduk sekiranya disertai dengan syahwat, dan tidak batal jika tidak disertai syahwat.
Apabila rakyat Malaysia pergi menunaikan ibadah haji atau umrah di Mekah, bersentuhan (tanpa lapik) antara lelaki dan perempuan ajnabi tidak membatalkan wuduk selagi tidak disertai syahwat. Pegangan ini berpandukan kepada satu pendapat dalam Mazhab Syafi'i kerana masyaqqah (kesukaran) untuk menjaga wuduk di sana, selari dengan keputusan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan 2005. Adapun di Turki atau negara-negara lain perlulah dilihat kepada mazhab mana yang digunakan dalam urusan ibadat mereka.
2) Sunnah membaca tiga kali bacaan rukuk dan sujud menurut Mazhab Syafi’i, Hanafi dan Hanbali. Ia berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang dari kamu rukuk dan mengucapkan dalam rukuknya "Subhana rabbiyal azim" tiga kali, maka sempurnalah rukuknya, dan itu adalah yang paling minimum. Dan barang siapa yang mengucapkan dalam sujudnya "Subhana rabbiyal a'la" tiga kali, maka sempurnalah sujudnya, dan itu adalah yang paling minimum."
Dalam Kitab Majmu’ Syarh Muhazzab menukilkan bahawa menurut Mazhab Syafi’i, bacaan rukuk dan sujud sebanyak tiga kali merupakan bilangan minimum paling sempurna. Adapun begitu, bacaan rukuk dan sujud dalam solat merupakan sunat haiat (tidak dituntut) dan bukan rukun qauli yang mana apabila seseorang terlupa atau meninggalkannya tidak menyebabkan batal solat tersebut dan tidak perlu menggantikannya dengan sujud sahwi.
Terdapat juga riwayat yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib RA di dalam Jami' al-Tirmizi, bacaan Nabi SAW ketika rukuk iaitu;
Maksudnya: Maha suci Allah tuhan kami dan segala puji bagi-Mu. Ya Allah ampunilah daku, kepadaMu aku rukuk, kepadaMu aku beriman, kepadaMu aku berserah diri, pendengaran ku hanya untukMu, begitu juga dengan penglihatanku, akal fikiranku, tulan belulangku, urat sarafku, dan apa yang ku pijak.
Manakala bacaan ketika Nabi SAW sujud iaitu;
Maksudnya: Ya Allah kepadaMu aku bersujud, dan kepadaMu aku beriman, kepadaMu aku berserah, wajahku sujud kepada penciptanya, kepada yang membentuknya, yang memberikan pendengaran, dan penglihatan, maha suci Allah sebaik-sebaik pencipta.
Sunnah Nabi SAW luas dan boleh diamalkan mengikut pilihan masing-masing.
3) Dalam Mazhab Syafi'i, hukum asal pembayaran zakat perlu dilakukan menggunakan makanan asasi iaitu beras. Namun begitu, para ulama mutaakhirin telah berpegang kepada pandangan Mazhab Hanafi yang mengharuskan zakat dikeluarkan dengan nilaian beras kerana mengambil kira kemaslahatan dan kesesuaian pembayar zakat dan keperluan fakir miskin.
4) Tahnik merupakan antara perkara sunnah yang dilakukan selepas bayi dilahirkan. Ia sebagai mengambil berkat daripada orang yang soleh dan baik. Sebagaimana hadis daripada Saidatina Aishah RA:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah didatangi dengan kanak-kanak. Lalu Baginda memberkati mereka dan mentahnikkan mereka.
(Hadis Riwayat Muslim)
Ia kebiasaannya dilakukan dengan membawa bayi yang baru lahir berjumpa dengan orang yang soleh dan baik untuk ditahnikkan dengan buah kurma sebelum bayi makan makanan yang lain.
Sekian, terima kasih.