Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanyakan sesuatu perkara..
Saya keluar rumah untuk membuka kunci pagar dan saya melihat satu tompokan air di hadapan pagar rumah saya ( di atas jalanraya ) dan saya tidak pasti apakah tompokan air itu. Di sekitar kawasan perumahan saya ini juga terdapat anjing liar jadi saya khuatir ianya adalah air kencing anjing dan mak saya juga telah memijak tompokan air tersebut dan telah berjalan di halaman rumah serta memijak karpet kereta.
Oleh yang demikian, apakah yang perlu saya lakukan ustaz?
Jawapan
Merujuk persoalan yang diajukan, situasi tidak pasti tompokan air tersebut adalah air kencing anjing atapun tidak, maka perkara tersebut hanya disyaki sahaja kerana bukan sesuatu benar-benar pasti tanpa melihat dengan mata kepala sendiri najis daripada anjing. Oleh yang demikian, hendaklah meninggalkan perasaan syak wasangka tersebut tanpa perlu menyertu. Sesungguhnya Allah SWT tidak memberatkan seseorang hamba-Nya daripada syariat yang telah ditetapkan oleh-Nya. Ini adalah kerana hukum tidak dapat dibina atas dasar ragu-ragu, was-was, syak atau sangkaan. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 36:
Maksudnya: Sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran.
Saudara tidak perlu melakukan apa-apa dalam perkara ini.
Sekian, terima kasih.