BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,

saya ada beberapa soalan berkaitan dengan zakat dalam konteks pendidikan

1. apakah kategori asnaf yang terlibat bagi mereka yang menerima bantuan biasiswa zakat

2. bagaimana institusi zakat mengukur kelayakan pelajar untuk menerima bantuan biasiswa zakat sama ada pendapatan keluarga atau keadaan keluarga semasa atau terdapat ciri-ciri lain.

3. apakah hukumnya jika pelajar yang menerima bantuan biasiswa zakat tersebut menggunakan bantuan tersebut dengan cara yang salah.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

Soalan 1: Segala pemberian harta zakat perlu dikembalikan kepada 8 golongan asnaf zakat yang telah disebutkan dalam ayat al-Quran di dalam surah Al-Taubah ayat 60:

 إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ 

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. 

Justeru, kategori asnaf yang terlibat bagi mereka yang menerima bantuan biasiswa zakat adalah mereka yang tergolong dalam asnaf Fakir, Miskin dan Muallaf  fi sabilillah; takrifan rasmi yang dipilih oleh lembaga zakat selangor Fisabilillah ialah perjuangan, usaha dan aktiviti yang bertujuan untuk menegakkan dan mempertahankan agama Allah. Adapun Pusat Pungutan Zakat -Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Asnaf fi sabilillah merupakan: Mana‐mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti untuk menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.

Selain itu, di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyatakan pandangan yang dipegang oleh majoriti ulama seperti yang disebutkan:

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى جَوَازِ إعْطَاءِ الزَّكَاةِ لِطَالِبِ الْعِلْمِ، وَقَدْ صَرَّحَ بِذَلِكَ الْحَنَفِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ، وَالْحَنَابِلَةُ، وَهُوَ مَا يُفْهَمُ مِنْ مَذْهَبِ الْمَالِكِيَّةِ

Maksudnya: Para fuqaha bersepakat tentang keharusan memberikan wang zakat kepada penuntut ilmu. Perkara ini disebutkan secara jelas oleh para ulama mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali. Begitu juga yang difahami daripada mazhab Maliki.

Soalan 2: Secara umumnya, Institusi zakat mengukur kelayakan pelajar untuk menerima bantuan biasiswa zakat adalah mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh lembaga zakat. Oleh itu, sebaiknya tuan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai syarat dan kriteria kelayakan menerima biasiswa zakat boleh rujuk di lembaga atau pusat zakat yang terdekat di negeri tuan. 

Soalan 3: Biasiswa adalah merupakan pemberian dari lembaga zakat kepada penerima dan ia dikira sebagai hibah menjadi milik penerima itu. Justeru, bergantung sesuatu kepada niat seseorang itu kerana setiap amalan di kira dengan niatnya. Hal ini disebutkan di dalam kaedah fiqh iaitu: 

الأمور بمقاصدها

Maksudnya: Segala perkara itu bergantung kepada niatnya.

Justeru, ungkapan ini merujuk kepada prinsip asas dalam Islam bahawa setiap tindakan manusia dinilai berdasarkan niatnya. Maka diteliti jika penerima tersebut menggunakan duit biasiswa yang telah diterima di jalan yang salah, maka penerima tersebut berdosa.    

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 120

message user image